Fiesta Ranggoli Kutip Sumbangan RM25,000


Berita dan Gambar Oleh: Lee Le Ming

BANGI, 26 April 2017 – Fiesta Ranggoli 2017, program anjuran tahunan Kelab Mahasiswa India (KMI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya mengutip sumbangan kira-kira RM25,000 untuk disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO).

Program ini telah berkerjasama dengan rancangan televisyen “Kannadi” iaitu sebuah program yang ditayangkan di Astro Vaanavil untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik dan golongan istimewa.

Tema fiesta bagi tahun ini adalah “Nizhaloodu Nijangkal” yang bermaksud kehidupan adalah salah satu anugerah terbesar yang diperolehi oleh seseorang individu.

Ketua Pengarah Fiesta Ranggoli, Tharisini Kunaserkaran berkata mereka telah berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM25,000 melalui Fiesta Ranggoli tahun ini.

“RM10,000 akan disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Agathiar Sanmarka Sanggam untuk membantu 10 buah keluarga yang menghadapi masalah kewangan.” Katanya.

Program ini telah dirasmikan oleh Presiden Community Builders Foundation Kuala Lumpur, Datin Seri P. Kanagam.

Dalam ucapan perasmian, beliau berkata sebuah negara tidak dapat maju sekiranya rakyat tidak berusaha untuk menaikkan taraf mereka.

Oleh itu, beliau menyarankan agar semua siswazah sentiasa terlibat dalam aktiviti komuniti, masyarakat dan negara.

Turut hadir di fiesta tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah, Pengetua Kolej Keris Mas, Prof. Madya Dr. Muhammad Hussin dan artist-artist Malaysia yang terkenal seperti KK.Kanna, Rabbit Mac, Shamini R Villaz dan Ola Bola Saran.