Final Piala Cabaran: UKM FC tidak Beri Kemenangan Mudah kepada JDT II


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim & Izwan Azman

CHERAS, 14 Oktober 2019 – Walaupun impian untuk menjulang Piala Cabaran tidak kesampaian, tetapi pasukan UKM FC tidak memberi kemenangan mudah kepada pasukan JDT II apabila perlawanan itu terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 secara agregat.

Pasukan Harimau Selatan II memastikan kejuaraan pada edisi kedua itu milik mereka setelah mengecewakan The Varsity Boys 6-5 pada penentuan sepakan penalti di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, baru-baru ini.

JDT II yang hadir ke gelanggang lawan dengan membawa bekalan satu gol dari perlawanan pertama dilihat berjaya menguasai permainan dalam separuh masa pertama, namun kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol sehingga tamat separuh masa pertama.

Dalam separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu lawan masing-masing, sehinggalah gawang gol JDT II dibolosi gol apabila Matteo Roskam berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-82.

JDT II yang berstatus pasukan bintang sedikit pun tidak menggentarkan pasukan UKM FC yang berjaya mengekalkan disiplin terutama di bahagian pertahanan sehingga berjaya memastikan gawang mereka tidak dibolosi sepanjang 120 minit masa perlawanan.

Pada perlawanan akhir kedua tersebut, penjaga gol UKM FC, Khatul Anuar Md Jalil telah menerima Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan atas rekod cemerlang yang dipamerkan sepanjang perlawanan.

Perlawana tersebut telah dihadiri oleh Naib Canselor UKM, Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Shukor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan barisan pengurusan tertinggi UKM.