Forum OECD Asian Public Governance Ketengah Isu Kesaksamaan Jantina


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 2 Disember 2020 –  Isu “gender equality” atau kesaksamaan jantina yang sentiasa menjadi perbualan hangat masyarakat antarabangsa telah diketengahkan dan dibincangkan dalam satu forum bertajuk OECD Asian Public Governance Forum On Gender Equality and Mainstreaming yang di Bilik Majlis, Bangunan Pentadbiran, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Antara topik yang dibincangkan termasuklah Country Priorities and Initiatives for Gender Equality, Women’s Leadership in Political and Public Life dan Gender Equality in Public Administration.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohamma, dalam ucapannya berkata, kerajaan perlu menyedari hak untuk kesaksamaan jantina dalam belanjawan 2020, bagi memastikan hak wanita dilindungi dan diskriminasi terhadap wanita boleh dielakkan mengikut peruntukan khusus undang-undang.

“Perkara itu termasuklah menyediakan peluang kepada wanita dengan akses yang sama berdasarkan kepada kredibiliti, kemahiran dan keupayaan yang akan meningkatkan produktiviti syarikat dan juga meningkatkan pendapatan negara,” katanya.

UKM juga telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan ‘gender mainstreaming’ dengan menghormati wanita sebagai individu utama dalam membuat keputusan.

“Dalam usaha untuk meneruskan penglibatan wanita dalam membuat keputusan, UKM telah melantik wanita untuk memegang jawatan tertinggi di Universiti seperti jawatan Pendaftar, Pengarah Eksekutif Kewangan dan Penasihat Undang-Undang.

“Saya percaya, Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim yang diketuai oleh Prof Datin Dr Norizan Abd Razak telah membuat pelbagai usaha dan inisiatif untuk memajukan agenda pemberdayaan jantina, terutama bagi wanita agar mereka dapat terus berdaya saing dalam banyak aspek.

“Saya juga berharap sektor swasta akan lebih proaktif dalam mempromosikan wanita di negara ini dengan memberi peluang kepada wanita dalam peranan membuat keputusan.

“Ini kerana lebih banyak wanita perlu diberi kedudukan teratas supaya pandangan wanita dapat dipertimbangkan dan mendapat manfaat dalam membuat dasar kerajaan,” katanya.

Forum anjuran Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) UKM itu adalah pertama kali diadakan dengan kerjasama OECD Korea Policy Center dan turut dihadiri oleh delegasi-delegasi luar negara antaranya Australia, Korea, Myanmmar, Thailand dan Singapura.

Hadir bersama, Ketua Pegawai Eksekutif OECD Korea Policy Centre, Hankyung Yi dan Penasihat Kanan dan Ketua Unit Jantina, Keadilan dan Keterangkuman OECD, Atyana Teplova.