FRIM Pilih UKM Bantu Proses Pencalonan FRIM Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

KEPONG, 27 Julai 2019 – Fakulti Undang-Undang (FUU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dipilih oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam membantu proses pencalonan FRIM sebagai tapak warisan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).

Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad berkata, projek (pencalonan) tersebut mempunyai tiga fasa dan akan dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan.

“Fasa pertama adalah penyelidikan perundangan oleh penyelidik UKM berkaitan dengan isu-isu yang dihadapi oleh FRIM, iaitu membuat perbandingan mengenai tapak warisan UNESCO yang lain bagi mendedahkan FRIM dengan isu-isu yang bakal mereka hadapi apabila FRIM mendapat status tapak warisan dunia UNESCO.

“Segala data penyelidikan akan dianalisis dan diterbitkan ke dalam buku dan artikel perundangan berkenaan FRIM. Kesemua penerbitan ini akan dirujuk dalam dossier pencalonan FRIM sebagai tapak warisan dunia UNESCO dan Pelan Pengurusan Pemuliharaan tapak warisan FRIM,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan FRIM baru-baru ini.

Beliau berkata, fasa kedua adalah penyediaan undang-undang kecil dalam pemerkasaan perundangan FRIM bagi melihat aspek perundangan FRIM yang masih mempunyai beberapa kepincangan.

“Oleh itu, penyelidik UKM akan menggubal undang-undang kecil dengan kerjasama pejabat Penasihat Undang-undang FRIM,” jelasnya.

Beliau berkata, untuk fara terakhir, penyelidik UKM akan menyediakan modul latihan dan mengadakan sesi latihan kepada pegawai penguatkuasa dan pentadbiran FRIM mengenai perundangan yang berkaitan.

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mahmod berkata, bagi memastikan projek tersebut berjaya, mekanisma implementasi aspek perundangan menerusi penggubalan undang-undang kecil tapak warisan perlu bagi menjamin kecekapan pengurusan dan pemuliharaan hutan warisan ini agar terhindar daripada pelbagai ancaman dan halangan.

“Harapan dan impian saya adalah bagi memastikan FRIM menjadi kawasan bersejarah bukan sahaja sebagai the biggest forest tetapi inilah satu-satunya harta yang kita perlu kita lindungi.

“Terima kasih kepada UKM kerana sanggup mengambil inisiatif ini bersama FRIM untuk memastikan projek ini berjaya,” katanya.