FSSK- ADAB Youth Garage Santuni B40 di Bangi Sempena Ramadhan


Oleh Salleh Sulieman
Foto FSSK

BANGI, 18 April 2022- Skuad KASIH@FSSK sekali lagi menyantuni golongan B40 sekitar Bangi, Selangor, dalam program Semarak Ramadhan bersama ADAB Youth Garage (AYG), semalam.

Program tersebut disertai oleh mahasiswa FSSK yang bertindak sebagai sukarelawan dengan mengagihkan pek Bakul Ramadhan kepada 200 penduduk di rumah flat di Seksyen 4, Seksyen 2 dan Seksyen 3 di Bangi.

Menurut sumber, proses pembungkusan dan pengagihan Bakul Ramadhan itu bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir jam 4.00 petang.

Program Semarak Ramadhan ini juga dimeriahkan dengan acara memasak bubur lambuk sebanyak 500 pek sempena untuk diagihkan kepada penduduk.

Program Semarak Ramadhan anjuran AYG yang telah menerima tajaan daripada CIMB ISLAMIC dan CIMB Foundation adalah satu usaha murni ini yang memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada mahasiswa FSSK dalam menyantuni masyarakat setempat sepanjang Ramadan.

Unit KASIH@FSSK di bawah Sekretariat Jaringan dan Alumni FSSK telah ditubuhkan pada Mac 2021 bertujuan untuk mengendalikan program kebajikan, kesukarelawanan dan khidmat masyarakat di peringkat fakulti dan melibatkan pelajar, kakitangan dan alumni FSSK serta rakan strategik.

ADAB Youth Garage (AYG) merupakan antara rakan strategik yang telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan FSSK bagi tempoh dua tahun.

Program ini menyediakan platform terbaik untuk memupuk dan menyemai semangat warga FSSK bagi membantu golongan B40 yang terjejas akibat pandemik.