FSSK Hulur Bantuan Banjir di Hulu Semenyih


Oleh: FSSK
Foto: FSSK

BANGI, 24 Disember 2021- Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM menunjukkan keprihatinan mereka kepada mangsa banjir di Hulu Semenyih baru-baru ini dengan menghulurkan bantuan melalui Projek Khidmat Komuniti Pasca Banjir FSSK.

Inisiatif tersebut dibuat melalui Unit KASIH@FSSK Sekretariat Jaringan dan Alumni bersama Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (PMFSSK) dengan kerjasama rakan strategik iaitu Adab Youth Garage (AYG).

Sekumpulan sukarelawan PMFSSK dan AYG turut turun padang untuk membantu membersihkan rumah mangsa yang terjejas teruk di kawasan tersebut ekoran hujan lebat yang mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di Selangor.

Unit KASIH@FSSK telah menyumbangkan peralatan pembersihan berupa mesin pancutan air (water jet), paip getah, penyapu, mop, kasut getah, sarung tangan getah, penyeduk longkang, cecair pencuci, dan plastik sampah.

Pembiayaan peralatan pembersihan ini adalah hasil daripada dana Tabung KASIH@FSSK. Unit KASIH@FSSK ditubuhkan pada Mac 2021 bertujuan untuk menjalankan program kebajikan, kesukarelawan, dan khidmat komunit melibatkan warga UKM dan komunti setempat.

Simbolik penyerahan sumbangan peralatan pembersihan kepada AYG telah disampaikan oleh Timbalan Dekan Jaringan dan Penjanaan FSSK, Prof. Madya Dr Tengku Nor Rizan Tengku Maasum. Turut hadir Penyelaras Unit KASIH@FSSK, Dr Noremy Md. Akhir, ahli taskforce Unit KASIH@FSSK, Dr Zaharom Ridzwan, dan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa FSSK (PMFSSK), Saudari Tengku Syuhada Elissa Tengku Adam Azli.

Turut hadir ialah wakil dari AYG iaitu Encik Muhammad Nizam Samsudin, Founder Adab Youth Garage (AYG) dan Encik Muhammad Afiq Ramlee CEO Adab Youth Garage (AYG).

Projek seumpama ini menyediakan platform terbaik dalam kalangan ahli fakulti, NGO, rakan strategik, dan orang ramai untuk memupuk semangat kesukarelawanan dan rasa tanggungjawab serta memberikan khidmat bantuan terbaik kepada mangsa banjir selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.