FSSK Sumbang Barangan Keperluan Harian kepada Mangsa Banjir di Kota Tinggi

Oleh Asmahanim Amir

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 10 Januari 2021 – Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Program Kerja Sosial telah menjayakan misi bantuan banjir Kota Tinggi, Johor dengan memberi sumbangan dan bantuan kepada mangsa banjir di sana.

Menurut Pengarah Pusat Hal-Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi yang mewakili Naib Canselor UKM, sumbangan disampaikan dalam pelbagai bentuk seperti 12,376unit lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa, 327 susu tepung formula kanak-kanak, 300 susu segar, 648 unit teh uncang, 2,500 pelitup muka dan 50 unit pemanas air elektrik.

Tambah beliau projek tersebut tercetus hasil daripada maklumat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor berkaitan dengan keperluan segera bantuan barangan untuk mangsa banjir.

“Hasil daripada maklumat tersebut, pihak FSSK terpanggil untuk menggerakkan misi bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas dengan banjir di Kota Tinggi.

“Pelaksanaan program ini juga telah dijayakan dalam tempoh yang singkat iaitu selama enam hari bermula 5 Januari lepas,” katanya semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Keperluan Mangsa Banjir di Kota Tinggi Johor: Projek Amal Limpahan Kasih FSSK UKM, di sini, hari ini.

Misi bantuan banjir melalui Program Amal Limpahan Kasih FSSK UKM ini adalah kolaborasi bersama Institut Onn Jaafar, The Lost Food Project, Syarikat Bigwealthy Global Sdn Bhd dan Persatuan Profesional Islam Anak Johor (GAPHOR) serta Alternative Riders Club yang menjadi sukarelawan bagi membantu penyerahan sumbangan tersebut di Kota Tinggi.

Beliau berkata tanpa kerjasama erat dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan industri, projek seperti itu tidak akan dapat dijalankan dengan jayanya.

“Kepedulian dan keprihatinan rakan industri dalam melaksanakan tanggungjawab sosial ini sangat terpuji dan kami amat hargai.

“Kerjasama ini wajar menjadi titik permulaan untuk berganding bahu dan meneruskan inisiatif projek-projek bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di masa akan datang,” katanya.

Beliau berharap agar sumbangan itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban, kepayahan dan keluhan mangsa banjir khasnya di Kota Tinggi dan semua negeri yang terlibat.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Jaringan dan Alumni FSSK, Prof. Madya Dr. Tengku Nor Rizan Tengku Mohd Maasum dan Setiausaha GAPHOR, Dr. Zulkifli Ambak.