Galeri Seni UKM Terima 12 Karya Lukisan Sempena Pameran RASA Alam 2015

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 15 Okt 2015 – Galeri Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima sebanyak 12  karya lukisan daripada dua pelukis terkenal dan sedang meningkat naik untuk dipamerkan di galeri tersebut sempena Pameran RASA Alam yang diadakan selama sebulan bermula 9 Oktober lalu.

Mereka ialah Mohd Rasfan Abu Bakar dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Azman Nor dari UKM.

Galeri yang ditubuhkan pada tahun 1982 itu telah menghimpunkan lebih 150 buah karya seni menggunakan cat minyak, cat air dan akrilik serta karya-karya dari bahan campuran.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal, pameran tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan, membuka minda dan menonjolkan kepelbagaian motif dan media daripada para karyawan jemputan dari luar kampus dan karyawan kampus.

“Saya amat mengalu-alukan usaha Pusat Kebudayaan yang mengambil inisiatif membuka ruang lingkup yang lebih luas dengan menganjurkan aktiviti yang bercorak pameran seni halus biarpun karya yang dipamerkan bukanlah sepenuhnya hasil dari karyawan UKM,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian di sini baru-baru ini.

Katanya usaha itu dianggap sebagai langkah yang amat bertepatan ke arah mengangkat martabat seni dan budaya khususnya dalam bidang seni tampak atau seni rupa.

Beliau berkata pameran RASA Alam ini telah dikenali dan mendapat sokongan daripada para karyawan dan pelukis-pelukis di sekitar Lembah Kelang.

“Hasilnya sejak tahun 2011, kita telah menerima 34 karya lukisan yang tidak ternilai harganya untuk dipamerkan di galeri ini,” katanya.

Katanya sumbangan itu sangat bernilai kepada UKM yang sedang dalam usaha menambah koleksi karya-karya dari karyawan terkenal suaya  warisan kesenian itu terus dapat dinikmati oleh masyarakat umum.

Pada pameran edisi ini, 18 pelukis telah mengambil bahagian termasuklah daripada ASWARA, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Persatuan Pelukis Cat Air Malaysia, Persatuan Akrilik Malaysia, El Arts Cave Gallery, Kelab Seni Lukis Daerah Hulu Langat dan pelukis-pelukis perseorangan.ukmnewsportal-bm

4

3