Genius Remaja Komited Merealisasikan Impian Golongan Remaja B40


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 8 Februari 2021 – Bagi menghargai karya seni anak muda dari golongan B40, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) bersama Bahagian GENIUS, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan Pameran Foto GENIUS Remaja dan Pelancaran Projek Impian Remaja yang diadakan secara maya hari ini.

Program tersebut adalah untuk membantu golongan remaja B40 memenuhi keperluan mereka khususnya dalam aspek pendidikan dan pengasahan bakat serta kemahiran dalam pelbagai bidang.

Timbalan Menteri Pendidikan I KPM, Muslimin Yahya berkata, tujuan utama program GENIUS Remaja dilaksanakan adalah untuk memberikan ruang dan peluang kepada remaja dari kelompok B40 untuk menyertai dan mendapat manfaat daripada pelbagai aktiviti yang telah dirancang supaya mereka tidak berasa terpinggir daripada mendapat peluang mengisi masa lapang dengan berfaedah.

“Aktiviti masa lapang remaja ini dirangka khusus oleh PERKASA-UKM melalui modul kemahiran yang telah memperoleh hak harta intelek. Remaja ini bukan sahaja mampu berdikari dengan menjalankan perniagaan sendiri, malah ada yang telah menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang kemahiran yang dipelajari di GENIUS Remaja.

“Lebih membanggakan, seramai 11 orang alumni telah diserap sebagai tenaga pengajar dan kini mereka berkhidmat semula membantu remaja lain dalam program GENIUS Remaja ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pameran Foto Genius Remaja Dan Pelancaran Projek Impian Remaja yang diadakan secara maya di sini hari ini.

Katanya, UKM telah mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Projek Impian Remaja yang diusahakan bersama-sama sekumpulan pelajar sarjana dari Graduate Business School, UKM.

“Antara inisiatif projek ini ialah mengumpulkan seberapa banyak penyumbang sama ada daripada sektor korporat mahupun individu bagi merealisasikan impian remaja ini. Segala sumbangan yang diterima akan digunakan untuk membantu remaja yang memerlukan seperti membiayai keperluan asas, pendidikan, kesihatan dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat UKM, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah berkata sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2010, lebih daripada 6,000 remaja B40 telah diberikan peluang untuk mengasah bakat dan berbakti semula kepada komuniti.

“Sehingga kini, sebanyak empat buah pusat komuniti GENIUS Remaja telah beroperasi di kawasan Lembah Klang iaitu di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, PPR Seri Pantai, Perumahan Awam Desa Rejang dan PPR Kg. Muhibbah.

“Semua pusat komuniti ini dibuka setiap hari dan memberikan ruang yang sangat kondusif untuk remaja menelaah pelajaran, bersantai secara sihat dan menjalani latihan kemahiran kegemaran remaja sendiri yang dibekalkan setiap hujung minggu,” katanya.

Pada majlis itu, turut diadakan sumbangan cek daripada badan korporat iaitu Kajang Plaza Medical Centre sebanyak RM120,000, Atomy Malaysia Sdn. Bhd. (RM46,100), Export-Import Bank of Malaysia Berhad (RM25,000), Yayasan Food Bank Malaysia (RM15,000), Malaysian Timber Council (RM10,000) dan sumbangan secara one off daripada Timbalan Menteri Pendidikan 1 bernilai RM20,000.