Geran Penyelidikan Kekal RM470 Juta Untuk Tahun 2016

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 21 Jan 2016 – Geran penyelidikan yang diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk tahun 2016 adalah kekal pada tahap  RM470 juta.

Menterinya, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata walaupun senario ekonomi semasa yang tidak menentu, jumlah geran penyelidikan dikekalkan kerana penyelidikan telah berjaya membudayakan universiti.

“Program penyelidikan fundamental (Fundamental Research Programmes) yang diterajui oleh KPT amat penting bagi penghasilan ilmu secara berterusan. Jadi, Universiti Penyelidikan akan terus diberikan suntikan dana untuk melaksanakan aktiviti RDCI yang berlandaskan kepada penghasilan bakat, kecemerlangan penyelidikan dan penjanaan kekayaan berpaksikan rakyat,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Tahun Baharu KPT 2016 di sini pada 18 Jan lepas.

Katanya baru-baru ini, laporan bertajuk ASEAN Research Landscape yang diterbitkan oleh Thompson Reuters menunjukkan bahawa landskap penyelidikan Malaysia telah tumbuh sebanyak 594 peratus antara tahun 2005 hingga 2014.

“Pertumbuhan Malaysia berkali ganda melebihi ASEAN iaitu 189 peratus, Amerika Syarikat 34 peratus, Eropah 46 peratus dan dunia 36 peratus.

“Alhamdulillah, ini menunjukkan bahawa pelaburan kerajaan ke dalam usaha-usaha penyelidikan terutamanya projek Universiti Penyelidikan sejak hamper 10 tahun lalu kini telah membuahkan hasil,” katanya.

Beliau berkata KPT akan membuat penjajaran program penyelidikan supaya berfokus kepada sektor keutamaan Negara termasuk Bottom 40, Perbankan Islam, Penyakit Tropika dan pemerkasaan belia serta kewarganegaraan dan warisan.

“Penyelidikan yang dipacu-industri dan dipacu-permintaan akan ditingkatkan untuk menyelesaikan permasalahan tertentu sektor industri dan komuniti,” katanya.

Dato’ Seri Idris berkata untuk tahun ini, beliau menyeru agar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memberi fokus kepada kerjasama industri yang membawa kepada pengkomersialan idea.

“Dalam konteks inovasi, hasil penyelidikan R&D dapat membawa kepada pengkomersilan produk dan pengkomersilan idea.

“Pengkomersilan idea adalah apabila IPT memberi perkhidmatan sebagai perunding pakar dan solutions provider kepada industry, menyampaikan latihan, menerbitkan buku dan menjalani kontrak penyelidikan,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa antara tahun 2007 dan 2011, inovasi dari penyelidikan untuk pengkomersilan idea menjana sebanyak RM1.25 bilion dan itu merupakan sumber pendapatan yang lumayan dan berpotensi tinggi kepada IPT dan negara.

“InsyaAllah, melalui pendekatan Quadruple Helix dan pengkomersilan idea, rakyat Malaysia akan dapat merasai hasil pendidikan tinggi dengan lebih nyata lagi,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama beliau berkata pada akhir tahun 2015, jumlah pelajar antarabangsa di Malaysia telah melebihi 114,000 dan ia telah menyumbang lebih RM3.3 bilion kepada pendapatan negara.

“Kita mensasarkan kemasukan pelajar antarabangsa ke negara kita seramai 200,000 orang dengan sumbangan RM15.6 bilion kepada ekonomi negara menjelang tahun 2020,” katanya.ukmnewsportal-bm
02

03