Gesaan Sediakan Kemudahan Belajar Kepada Kanak-Kanak Istimewa

Call For Better Facilities for Children With Special NeedsOleh Asmahanim Amir
Foto Muhammad Izwan Azman

BANGI, 29 April 2015 – Kerajaan disaran menyediakan kemudahan belajar untuk kanak-kanak istimewa – terutamanya kanak-kanak yang mengalami Autisme, sejenis gangguan perkembangan saraf – dan bukan pelbagai program khas yang menelan belanja yang besar.

Pengarah Permata Kurnia, Prof Madya Dr Hasnah Toran berkata penyelidikan di Amerika Syarikat menunjukkan belanja bagi menyediakan kemudahan belajar kepada kanak-kanak pendidikan khas adalah sebanyak RM 28,000  hingga RM 106,000 bagi setiap individu setahun

Penyelidikan yang dilakukan oleh Pusat Kebangsaan untuk Kecacatan Kelahiran dan Perkembangan Upaya di Amerika Syarikat menunjukkan kos bagi penyediaan program khas kepada kanak-kanak mencecah sehingga RM 350,000 bagi setiap individu bergantung kepada tahap Autisme yang dialami.

“Saya yakin Malaysia juga membelanjakan kos yang tinggi dalam penyediaan program kepada kanak-kanak Autisme. Saya mencadangkan agar kerajaan menggunakan peruntukan tersebut dengan menyediakan kemudahan belajar kepada mereka (kanak-kanak autistik) bagi mengurangkan beban ibu bapa kanak-kanak tersebut,” katanya semasa menyampaikan wacana Evolusi Ibu Adi Wira: Cabaran Membesarkan Anak Kurang Upaya di sini pada 23 April lepas.

PERMATA Kurnia merupakan kurikulum di bawah program PERMATA yang direka  khas untuk mendidik anak-anak Autisme berumur 6 tahun ke bawah

Beliau berkata walaupun kerajaan Malaysia menyediakan Pusat Dalam Komuniti (PDK), tetapi jumlah yang disediakan itu tidak mencukupi.

“Tidak semua bandar mempunyai PDK. Yang ada pun nisbah guru kepada murid adalah 1:11 dan peralatan pembelajaran yang disediakan juga tidak lengkap,” katanya.

Dr Hasnah berkata kanak-kanak autistik yang dihantar ke sekolah aliran perdana diberi peluang untuk belajar di situ selama tiga bulan sahaja.

“Jika kanak-kanak itu tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik, mereka tidak boleh meneruskan pengajian di situ kerana kebanyakan sekolah mementingkan kejayaan dalam peperiksaan pelajar sedangkan kanak-kanak ini memerlukan lebih banyak perhatian dan latihan daripada guru-guru,” ujarnya.

Katanya tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa yang mempunyai anak istimewa lebih tinggi jika dibandingkan dengan ibu bapa yang mempunyai anak-anak tipikal perkembangannya.

“Mereka (ibu bapa) tertekan kerana keperluan pengurusan anak istimewa lebih tinggi serta kekurangan perkhidmatan dan sokongan daripada pihak luar.

“Perkhidmatan dan sokongan untuk kanak-kanak istimewa di Malaysia adalah jauh ketinggalan berbanding perkhidmatan dan sokongan di negara-negara maju,” ujar beliau.

Dr Hasnah juga memberitahu bahawa kajian kes yang beliau lakukan menunjukkan terdapat kaum ibu yang berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada anak autistik  dan turut membuka pusat latihan sendiri bagi melatih kanak-kanak Autisme dalam menjalani kehidupan harian.

“Antara ilmu yang diajar oleh pusat latihan itu adalah memasak makanan yang mudah, basuh kain, lipat kain, menanam pokok dan lain-lain.

“Kenapa ilmu ini tidak diajar di sekolah-sekolah? Kerana falsafah pendidikan di Malaysia kurang menekankan kepada pendidikan kanak-kanak istimewa. Ini yang perlu diubah,” katanya.