GN Resound Sumbang 14 unit Alat Bantu Pendengaran kepada FSK


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 13 Disembr 2021 – Syarikat GN Sound menyumbangkan 14 buah alat bantu pendengaran dengan nilai RM138,600 kepada Klinik Audiologi dan Sains Pertuturan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Dekan FSK, Prof. Dr. Suzana Shahar berkata beberapa unit daripada alat bantu pendengaran itu akan digunakan sebagai unit demonstrasi bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran kursus klinik pelajar Audiologi di FSK.

“Terima kasih diucapkan kepada Syarikat GN Hearing Pte Ltd di atas sumbangan tersebut. Saya percaya sumbangan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pesakit B40 di Klinik Audiologi dan Sains Pertuturan, FSK, UKM,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Program Terrarium bersama Teristimewa, yang diadakan secara dalam talian.

Program Terrarium bersama Teristimewa diadakan bersempena dengan Sambutan 30 Tahun Fakulti Sains Kesihatan, disamping untuk memberikan kesedaran awal kepada kanak-kanak bermasalah pendengaran terhadap penjagaan alam sekitar.

Prof. Dr. Suzana berkata syarikat GN Resound adalah antara syarikat yang sering memberikan sokongan dan tajaan kepada Program Audiologi khususnya dan FSK amnya.

“Saya dimaklumkan bahawa GN Resound bukan sahaja antara syarikat peneraju di peringkat dunia dalam teknologi alat bantu pendengaran, malah mereka juga banyak terlibat di dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

“FSK sangat berbangga dapat bekerjasama dengan rakan industri yang menitik beratkan kecemerlangan teknologi serta sumbangan kepada komuniti,” katanya.

Sementara itu, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, UKM, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid berkata sebagai Universiti Watan, pihak Universiti amat menyokong usaha yang telah dijalankan oleh FSK dan syarikat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, adalah menjadi hasrat UKM untuk membina hubung jalin antara Universiti, industri dan masyarakat, untuk kesejahteraan negara tercinta.

“Isu pembangunan masyarakat adalah juga aspirasi kita dalam mengukuhkan semangat jati diri kebangsaan dan patriotisme di kalangan warga UKM.

Universiti ini sentiasa memimpin warganya mempunyai jiwa empati, prihatin dan altruisme melalui aktiviti berteraskan kemasyarakatan,” katanya.