Graduan Fakulti Pengajian Islam Perlu Ubah Persepsi Kerjaya

1
Oleh Zeti Farzana Alpikri
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 13 Jun 2016 – Pelajar Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu mengubah persepsi terhadap hala tuju kerjaya selepas menamatkan pengajian kelak.

Penolong Setiausaha Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Mohd Azhar Ismail berkata pemikiran pelajar mengenai pekerjaan hanya pada bidang agama perlu diubah.

“Mereka perlu merebut peluang mengisi kekosongan jawatan yang ada dengan kemahiran sedia ada berikutan perkhidmatan awam ini sangat luas,” katanya pada Program Hala Tuju Graduan FPI 2016 di sini pada 25 Mei lalu.

Beliau berkata tidak semestinya bidang pengajian Islam hanya terhad kepada pekerjaan yang berkaitan bidang agama sahaja seperti di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), malah boleh cuba pelbagai bidang lain dalam perkhidmatan awam seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pengambilan pekerja dalam perkhidmatan awam tidak terlalu menekankan bidang pengajian namun lebih menekankan kepada personaliti, sikap, kemahiran dan pengetahuan dalam diri individu”, kata beliau.

Mohd Azhar berkata kebanyakan graduan kini mempunyai pencapaian akademik yang bagus tetapi lemah dalam pemikiran kritikal, analitikal, perilaku dan tidak menunjukkan prestasi yang baik dari segi akhlak.

“Untuk mendapat pekerjaan, mereka bukan sekadar perlu cemerlang dalam akademik sahaja tetapi kemahiran dan kebolehan meneroka untuk mendapat maklumat serta menggunakannya dengan betul juga sangat penting,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat FPI, Dr Haziyah Hussin berkata pelajar tidak tahu bahawa mereka boleh menceburi bidang lain disebabkan oleh mereka masih belum mendapat maklumat yang secukupnya mengenai peluang kerjaya yang boleh diceburi.

“Graduan FPI boleh bekerja dalam pelbagai bidang seperti Imigresen, penguatkuasaan, maritim dan sebagainya. Alumni FPI juga terlibat dengan sektor swasta di pelbagai bidang seperti Eksekutif Perhubungan Korporat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi program tersebut berharap program itu dapat memberikan pendedahan kepada pelajar tentang prospek kerjaya dan cara untuk mereka menempatkan diri dalam industri.

Bagi pelajar tahun akhir FPI, Muhammad Hanafi Md Muidnudin, program itu sangat baik dan menarik dalam melahirkan graduan yang mempunyai hala tuju yang terkehadapan.

“Ia sepatutnya didedahkan sejak dari tahun satu lagi,” katanya.

Beliau menyatakan hasrat untuk melibatkan diri dalam bidang penerbitan TV bagi menyampaikan dakwah atau menjadi pensyarah selepas tamat pengajian nanti.ukmnewsportal-bm
2