Graduan OKU Tidak Jadikan Kekurangan Diri Sebagai Penghalang untuk Berjaya


Oleh Nur Batrisyia
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 8 April 2021 – Kekurangan diri bukanlah penghalang buat empat graduan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48.

Tiga sahabat dari Fakulti Pendidikan, Azree Feekree Zamzuri, Nur Aishah Tajudin dan Ainur Athira Zulkeflee membuktikan mereka juga boleh Berjaya walaupun berstatus OKU.

Azree Feekree yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Pendidikan Khas) meluahkan rasa syukur kerana dapat menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.

“Saya mendapat bantuan dan sokongan yang kuat daripada warga UKM selain ibu bapa dan keluarga,” katanya yang menerima Anugerah Tengku Ampuan Afzan.

Manakala Nur Aishah pula terlibat aktif dalam Persatuan Sekretariat Mahasiswa Orang Kurang Upaya (SMAKU) dengan memegang jawatan sebagai setiausaha.

“Walaupun pada awal pengajian saya agak sukar, namun berkat dorongan daripada tenaga pengajar dan kawan-kawan, akhirnya saya mampu melakukannya,” katanya.

Nur Aishah juga tidak menjadikan kekurangannya sebagai halangan untuknya terlibat aktif dalam Persatuan Silat Cekak Malaysia. Beliau berjaya menamatkan latihan seni pertahanan diri tersebut.

Rakannya, Ainur Athira Zulkeflee berkata pada tahun pertama beliau di UKM, beliau menghadapi cabaran dalam meningkatkan keyakinan diri.

“Masa di peringkat awal di UKM tahap keyakinan dalam diri agak lemah. Namun, berkat usaha dan sokongan kawan-kawan yang tidak pernah jemu membantu saya, akhirnya saya berjaya bangkit pada tahun kedua di UKM sehinggalah saya menamatkan pengajian,” katanya.

Graduan OKU Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Nur Syazalina Radzuan berkata walaupun beliau seorang sahaja pelajar OKU namun layanan pensyarah dan rakan-rakan terhadap beliau amat baik.

“Mereka banyak membantu ketika saya perlukan bantuan,” katanya yang mengalami penyakit cerebral palsy sejak lahir.

Beliau menanam azam untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran (PhD) suatu hari nanti.