Graduan Perlu Menghayati Nilai Pendidikan – Tuanku Muhriz

1
Oleh Muhammad Zaim Badrul Hisham
Foto Pusat komunikasi Korporat

BANGI, 5 November 2016 – Para graduan diingatkan supaya menghayati sepenuhnya nilai pendidikan yang telah diterima di UKM, sekali gus menggunakan segala peluang yang ada untuk berbakti kepada universiti, masyarakat, negara dan dunia sejagat.

Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah supaya para graduan menjadi alumni UKM yang menghayati sepenuhnya pendidikan yang telah diterima di UKM.

“Gunakanlah segala peluang yang ada untuk menyumbang sesuatu yang bermakna kepada universiti.

“Tidak ada yang lebih membanggakan beta, keluarga dan para guru anda melainkan melihat para alumni UKM terus peduli, berbakti dan berjasa kepada masyarakat, negara dan dunia sejagat dengan penuh hikmah dan berintegriti,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa Majlis Konvokesyen ke-44 UKM yang berlangsung di sini hari ini.

Dalam titah ucapannya, baginda telah menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan para graduan yang telah menamatkan pengajian di UKM.

Tuanku Muhriz juga berharap agar para intelektual UKM sentiasa memberi sumbangan idea demi merungkai segala persoalan besar untuk kebaikan kehidupan masyarakat.ukmnewsportal-bm