Graduan Perubatan Boleh Ikuti Program Pemerhati


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 6 November 2017 – Graduan perubatan yang sedang menunggu penempatan latihan perubatan (houseman) boleh mengikuti program pemerhati (tagging) untuk mendapatkan pendedahan sebelum menjalankan tugas sebagai doktor perubatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Hilmi Yahaya berkata dalam program itu, graduan akan mengikuti doktor perubatan yang bertugas dan memerhati sendiri tugas-tugas yang dilakukan oleh doktor tersebut.

“Kebiasaannya, graduan perubatan perlu menunggu antara enam bulan hingga setahun sebelum mendapat penempatan houseman. Jadi, sebelum graduan tersebut mendapat penempatan, mereka telah mendapat pendedahan dengan bidang tugas doktor yang sebenar.

“Ini adalah persiapan diri supaya mereka lebih cekap dalam kerja selain menambah pengalaman. Kita akan laksanakan program ini pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata kementerian masih menyediakan garis panduan program tersebut sebelum ia dilakanakan.

“Program ini juga sebagai langkah mengatasi masalah yang berlaku ketika houseman, di mana 30 peratus tidak lulus atau sangkut dalam latihan.

“Graduan boleh memilih sama ada mahu menjalankan tagging di hospital atau klinik kesihatan yang tidak menyediakan houseman. Ianya bukan program wajib,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa Karnival Kerjaya dan Latihan Penjagaan Kesihatan Bersepadu (IHICD) di Kolej Tun Syed Nasir, UKM, baru-baru ini.

Katanya kementerian sentiasa menyokong pihak UKM yang sentiasa menjalin hubungan erat dengan industri.

“Saya harap program IHICD dapat dianjurkan setiap tahun. Kami (kementerian) sentiasa menyokong apa sahaja program yg membantu para pelajar dalam mendapatkan pekerjaan,” katanya.