H-CARE Sambut Ulang Tahun Ke-10, Rai Warga Emas Pelbagai Kaum


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2022 – Pusat Kajian Penuaan Sihat & Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyambut ulang tahun ke-10 dengan meraikan warg emas dari pelabagai kaum.

Majlis sambutan itu diadakan dengan tujuan meraikan kejayaan satu dekad penubuhan H-CARE yang telah menghasilkan banyak projek penyelidikan yang berimpak tinggi, di samping memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya warga emas, selari dengan objektif utama ke arah penuaan sihat dan kesejahteraan insan.

Penganjuran program tersebut dapat melahirkan penyelidik yang bukan sahaja mempunyai intelek yang tinggi, malah mampu menyumbang bakti kepada masyarakat.

Majlis yang diadakan dengan kerjasama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) turut diserikan dengan pelancaran produk inovasi dan penyelidikan H-CARE iaitu Tippi 3in1 fruit juice, FallSA- Falls Screening Mobile App, We-Rise dan TempeCal dan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman antara UKM dengan Persatuan Pesara Universiti Kebangsaan Malaysia.

Timbalan Naib Cansleor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Norazah Mohd Nordin berkata penubuhan H-CARE sangat tepat pada masanya seiring dengan peningkatan jangka hayat populasi dan juga insiden penyakit berkaitan transisi demografi ini.

“Warga emas yang mengalami penuaan secara sihat merupakan aset negara yang penting kerana golongan ini mampu menyumbang dari aspek perkongsian pengalaman mereka kepada generasi muda dalam membantu ke arah pembangunan negara.

“Justeru, dalam usaha untuk merapatkan jurang antara penjagaan kesihatan di hospital dan dalam komuniti bagi populasi menua, maka H-CARE telah mengambil pendekatan multidisplin dalam merangka penyelidikan yang bersesuaian sebagai persediaan ke arah penuaan sihat dan kesejahteraan.

“Sebagai sebuah universiti penyelidikan, saya percaya H-CARE merupakan satu entiti yang memainkan peranan penting dan aktif dalam meneraju penyelidikan ‘translational’ dan inovasi berkaitan penuaan sihat dan kesejahteraan.

“Hasil dari penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik H-CARE dalam komuniti sasaran ini mampu memberi impak yang lebih besar kerana keberkesanannya telah dikaji terlebih dahulu,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Sambutan 10 Tahun H-CARE dan Hari Warga Emas 2022 di sini.

Beliau berkata program dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh H-CARE adalah salah satu cara bagi pihak universiti untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

“Program yang memfokuskan kepada pencegahan penyakit dalam kalangan masyarakat merupakan kekuatan penyelidik H-CARE. Jadi, diharap dengan adanya program seperti hari ini, secara tidak langsung masyarakat akan menjadi lebih cakna terhadap penuaan sihat,” katanya.

Sambutan 10 tahun yang bertemakan “Daya Tahan dan Sumbangan Warga Emas Wanita” turut dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Pesara merangkap Mantan Naib Canselor UKM, Tan Sri Prof. Emeritus Dato’ Dr. Anuwar Ali, Pengerusi PAWE UKM, Dato’ Dr. Mohd. Wahid Shamsudin dan Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Prof. Dr. Suzana Shahar.

Pelbagai acara turut diadakan seperti pemeriksaan kesihatan kepada warga emas, cabutan bertuah dan sesi senamrobik.