Hari DNA UMBI Pupuk Minat Sains Kepada Masyarakat


Oleh Nadia Sapuan
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 2 Mei 2017 – Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI) menganjurkan Sambutan Hari DNA sempena Hari DNA Sedunia untuk memupuk minat dalam bidang sains terutamanya tentang kepentingan asid deoksiribonukleik (DNA) kepada masyarakat.

Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat, Prof Dato’ Ir Dr  Mohd Marzuki Mustafa berkata program tersebut diadakan untuk memupuk minat dan pengetahuan pelajar untuk membuat pengajian dalam bidang sains terutamanya tentang DNA.

“Melalui cara ini,  kita dapat menunjukkan sains merupakan satu bidang yang menarik untuk diceburi di samping kita merapatkan hubungan dengan komuniti yang berada di sekeliling kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Sambutan Hari DNA baru-baru ini.

Beliau menambah Sambutan Hari DNA tersebut diadakan pada setiap tahun dan tahun ini merupakan kali keenam UMBI menganjurkan program itu.

Sebanyak empat buah sekolah menyertai program tersebut iaitu SMK Bandar Tun Razak, SM Sains Selangor, SMK Seri Bintang Utara dan SM Sains Alam Shah.

Menurut Guru Biologi SMK Bandar Tun Razak, Suzilawani Hussain, menerusi program itu, beliau berharap pelajar dapat mencuba, melihat dan memahami dengan lebih jelas tentang DNA.

“Menerusi program ini, banyak pengetahuan yang boleh pelajar perolehi kerana jika di makmal sekolah, kami agak kurang kelengkapan tetapi di sini banyak yang mereka boleh cuba, lihat dan faham tentang DNA,” katanya.

Pelajar tingkatan empat SM Sains Alam Shah,  Muhammad Firdaus Abd Rahman berpendapat program tersebut telah mendorong dan menguatkan cita-citanya untuk meneruskan pengajian dalam bidang sains dan sekaligus menjadi seorang doktor.

Turut hadir Pengarah UMBI, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal dan Pengerusi Program Sambutan Hari DNA, Dr Nadiah Abu.