Hasil Makanan Dan Plastik Dari Sisa Pertanian

4
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Pix Shahidan Saidi

BANGI, 4 April 2016 – Malaysia harus meningkatkan penggunaan sisa bersumberkan hasil perhutanan, pertanian dan perladangan bagi  pengeluaran sumber-sumber alternatif makanan dan polimer, kata seorang penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sarani Zakaria.

Beliau berkata biojisim yang dikenali sebagai Lignoselulosa boleh memenuhi permintaan industri makanan, kesihatan, tekstil dan sektor  lain.

Beliau menganggarkan Malaysia menghasilkan lebih 100 juta tan Lignoselulosa setahun yang mana 94% adalah daripada sektor kelapa sawit, 4% daripada industri kayu dan 1% daripada jerami padi.

Ini adalah sumber biojisim yang tidak ternilai untuk ekonomi.

“Penyelidikan kami di UKM telah menghasilkan produk makanan seperti ais krim, persediaan roti dan kek, pengemulsi untuk membuat biskut dan persediaan gula-gula,” ketua penyelidik itu di syarahan awam bertajuk 7 Keajaiban Bahan Lignoselulosa, di sini hari ini.

Antara produk-produk lain Lignoselulosa yang berjaya dihasilkan  kumpulan penyelidikan beliau di Fakulti Sains dan Teknologi adalah bekas yang boleh dimakan, pulpa, kertas, kertas magnet dan plastik polyurethana.

Menurut Prof Sarani, kita perlu menggunakan kayu dan sumber  tumbuhan yang biasanya menjadi sisa kerana pemprosesan boleh dilakukan oleh industri pada kos yang munasabah.

Lignoselulosa boleh diperolehi terutamanya daripada biojisim yang dihasilkan dari kayu dan tumbuh-tumbuhan, seperti serat buah-buahan, buah tandan, jerami padi, hampas tebu, batang dan daun.

Ia dikenali sebagai Lignoselulosa kerana komponen kimia utamanya adalah selulosa dan lignin sebagai tambahan kepada beberapa komponen kimia lain seperti hemiselulosa.

Sisa kayu daripada industri pembinaan, habuk papan dan sisa-sisa kayu dari kilang papan; sampah seperti kotak, kertas, surat khabar, alat tulis pejabat, majalah dan buku-buku lama adalah sumber Lignoselulosa yang sangat berguna.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa penggunaan biojisim lignoselulosa akan mengurangkan pembalakan hutan dan masalah pembuangan sisa oleh majlis-majlis perbandaran.

Prof Sarani adalah seorang pakar dalam bidang bahan-bahan berasaskan biosumber, terutamanya lignoselulosa.ukmnewsportal-bm

2

3