HCTM Hantar Ubat Melalui Pos, Elak Penyebaran Virus COVID 19


Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh Jabatan Farmasi HCTM

BANGI, 25 Mac 2020 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan Perkhidmatan Penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP) dan Panggil Dan Ambil (PDA) Pandu Lalu bagi mengurangkan penularan virus COVID-19. Perkhidmatan ini disediakan hanya untuk pesakit HCTM sahaja bagi memastikan bekalan ubat tidak putus semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penghantaran ubat tersebut dibuat pada setiap hari bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Pesakit hanya perlu menyemak baki ubat masing-masing dan sekiranya tidak mencukupi, pesakit boleh menghantar mesej maklumat peribadi iaitu nama pesakit, nombor daftar pesakit (RN) dan alamat untuk saringan kelayakan ke aplikasi Whatsapp Jabatan Farmasi, HCTM di talian 018-9682218 (Whatsapp sahaja).

Pesakit yang melepasi saringan, akan diminta mengisi Borang UMP secara atas talian dan ubat akan dihantar terus ke alamat yang telah didaftarkan. Caj bayaran pos untuk bekalan ubat ditanggung oleh pesakit dan dibayar terus kepada pihak pos laju semasa serahan ubat secara tunai (cash on delivery) mengikut berat bungkusan.

Sekiranya tidak layak untuk mendapatkan bekalan ubat melalui pos, pesakit boleh menggunakan PDA Pandu Lalu di lobi MAC (Pusat Reproduktif) HCTM mengikut tarikh dan waktu yang telah ditetapkan oleh kakitangan Farmasi. Bagi perkhidmatan PDA, pesakit perlu menghubungi Jabatan Farmasi terlebih dahulu di talian 03-91458241 atau 03-91456990 (8.30 pagi – 4.30 pagi hari bekerja) minimum sehari sebelum tarikh pengambilan ubat.

Ubat hanya boleh diambil secara pandu lalu pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

HCTM berharap langkah ini dapat mengurangkan jumlah pesakit dan orang awam hadir ke hospital untuk mengambil ubat dan mengurangkan risiko penularan COVID-19. Keselamatan dan kesihatan kakitangan HCTM, pesakit dan orang awam menjadi keutamaan HCTM pada waktu sukar ini.

HCTM sentiasa memastikan semua SOP berkaitan pencegahan penularan COVID-19 dan PKP sentiasa dipatuhi bagi melindungi kakitangan HCTM, pesakit dan orang awam.