HCTM Terima RM1.25 juta daripada Lembaga Zakat Selangor


Oleh Hafizah Mohamad Isa
Gambar oleh Bahagian Komunikasi Korporat KKL

SHAH ALAM, 8 Oktober 2018 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) Lembaga Zakat Selangor (LZS) Fasa II/2018 bernilai RM1.25 juta.

Sumbangan zakat itu adalah keseluruhan bagi tahun 2018, iaitu RM250,000 bagi Fasa 1 dan RM1 juta adalah untuk Fasa 2.

Dana tersebut disalurkan untuk membantu pembiayaan kos peralatan dan ubat-ubatan bagi pesakit-pesakit Islam Selangor yang tidak berkemampuan dan mendapatkan rawatan di HCTM.

Sumbangan dan kerjasama erat pihak hospital melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan, HCTM UKM dengan LZS yang terjalin sejak lebih 10 tahun lalu telah banyak membantu dari segi kos perubatan pesakit di HCTM.

Jabatan Kerja Sosial Perubatan HCTM dipertanggungjawabkan menyelaras segala bentuk bantuan yang disalurkan kepada pesakit yang menerima rawatan di HCTM mengikut kelayakan yang telah ditetapkan.

Sehingga kini, keseluruhan dana terkumpul untuk Tabung Kebajikan Pesakit HCTM dianggarkan sebanyak RM5 juta. Pada tahun ini sahaja dianggarkan lebih 450 orang pesakit telah diberikan bantuan kos perubatan daripada Tabung Kebajikan Pesakit di HCTM.

Pengarah HCTM, Prof Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid telah hadir menerima serahan zakat tersebut yang disampaikan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Sebanyak 18 buah hospital lain di sekitar Selangor turut menerima sumbangan tersebut.