HCTM UKM Tubuh Pusat Rujukan Onkofertiliti Pertama di Malaysia Bantu Masyarakat Tangani Masalah Kesuburan


Oleh Asmahanim Amir

Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 27 Ogos 2020 – Pusat Reproduktif Termaju (PRT) yang berindak sebagai Pusat Rujukan Onkofertiliti Pertama di Malaysia yang terletak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dapat membantu masyarakat dalam menangani masalah kesuburan, kata Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, pusat itu akan dapat melahirkan lebih ramai pakar bidang kesuburan dalam menjadikan Malaysia antara destinasi pelancongan perubatan dan tempat rujukan rawatan kesuburan di rantau ini.

Katanya, industri fertiliti adalah satu daripada tiga bidang tertinggi dalam industri pelancongan kesihatan dan perubatan iaitu yang pertama melibatkan rawatan kardiovaskular (rawatan jantung), onkologi (kanser) dan fertiliti (kesuburan).

“Kerajaan menyambut baik kewujudan pusat rujukan yang pertama di Malaysia ini yang juga turut menyediakan perkhidmatan konservasi ataupun pembekuan tisu ovari. Jadi, kita menyarankan supaya universiti bukan sahaja melahirkan pakar dalam bidang onkofertiliti tetapi juga saintis yang boleh terlibat dalam bidang genetik dan kesuburan,” katanya.

Dato’ Sri Dr. Adham berkata, penamaan semula PRT adalah permulaan dalam usaha kementerian melalui hospital universiti dalam meningkatkan rawatan kesuburan dan mengurangkan insiden kanser yang mungkin akan terjadi kepada golongan wanita.

“Dengan adanya pusat ini, kita boleh fokus kepada dua perkara iaitu merawat kesuburan dan mendapatkan pencegahan awal daripada kanser dalam kalangan wanita terutama sekali kanser serviks dan kanser payudara.

“Kita berharap ia akan menjadi pusat rujukan ilmu dalam bidang onkofertiliti dan lebih ramai saintis atau pakar-pakar dalam bidang ini dapat diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi sidang media selepas Majlis Pelancaran Persatuan Fertiliti Preservasi Malaysia dan Perkhidmatan Perservasi Tisu Ovari serta Pernamaan Advanced Reproductive Centre dan Sebagai Pusat Rujukan Onkofertiliti Pertama di Malaysia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

PRT sebelum ini dikenali sebagai unit Medical Assisted Conception (MAC) dan ia bermula hanya daripada sebuah unit kecil yang menyediakan perkhidmatan permanian beradas pada 1993 sebelum menawarkan dan menyediakan perkhidmatan bayi tabung uji 1997.

Unit MAC kemudian telah dinaik taraf pada 2011 sebagai salah satu pusat kecemerlangan hospital dan dalam tempoh tiga tahun terakhir, pusat itu secara purata telah menjalankan antara 300 hingga 350 kitaran bayi tabung uji dan 300 kes permanian beradas.

Sementara itu dalam ucapannya, Dato’ Dr. Adham berkata, servis pembekuan tisu ovari (Ovarian Tissue Cryopreservation – OTC) adalah perkhidmatan baharu di Malaysia yang perlu untuk memulakan perkhidmatan onkofertiliti secara menyeluruh di Malaysia.

“Perkhidmatan OTC amat penting untuk seorang wanita yang menghidap penyakit kanser bagi membolehkan tisu ovari digunakan semula selepas seseorang pesakit selesai mendapatkan rawatan kanser seperti kimoterapi,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, Pro-Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal dan Pengarah HCTM, Prof Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid.