Hitachi-GE Jepun Perbaharui Perjanjian dengan UKM

01
Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 10 Ogos 2016 – Hitachi-GE Nuclear Energy LTD (Hitachi-GE) dari Jepun, telah memperbaharui perjanjian dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjalankan program pembangunan sumber manusia antarabangsa untuk melatih kakitangan yang berkualiti tinggi untuk industri tenaga nuklear.

Kursus itu mengkhususkan penyelidikan dan kepakaran tenaga nuklear dari institusi yang terlibat dengan industri tenaga nuklear di Malaysia.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Hitachi-GE, program yang dijalankan itu akan memanfaatkan kursus yang telah dijalankan bersama Institut Teknologi Tokyo (Tokyo Tech) bagi tempoh lima tahun.

Kursus itu mensasarkan kepada pelajar yang mengkhususkan bidang tenaga nuklear di Malaysia serta penyelidik dan instiusi lain yang terlibat dengan industri tenaga nuklear di Malaysia.

Kursus tersebut meliputi langkah-langkah keselamatan dan kepentingan tiga prinsip penggunaan tenaga nuklear secara aman.

Malaysia dalam rancangan untuk memperkenalkan tenaga nuklear sebagai usaha untuk mewujudkan kepelbagaian sumber-sumber kuasa elektrik sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi yang bertujuan untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.ukmnewsportal-bm