Hospital Pintar Pakar Kanak-Kanak (HPKK UKM) Dilengkapi Sistem Pengurusan Tercanggih

Oleh Asmahanim Amir

Foto Rosli Nasir

CHERAS, 22 Disember 2020 – Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) akan menjadi hospital pintar pakar kanak-kanak pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan sistem pengurusan tercanggih dengan intensif penyelidikan.

Menurut Timbalan Pengarah (Diagnostik & Sains Kesihatan) HPKK, Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, hospital dengan keluasan 2,171,531 kaki persegi itu akan menjadi pusat perubatan dan perawatan yang berpusatkan keluarga dan mesra kanak-kanak.

Katanya, hospital tersebut berkonsepkan mesra alam iaitu dengan teknologi hijau dan perkhidmatan tanpa kertas (paperless hospital) selain dilengkapi dewan bedah digital, MRI 3 Tesla, x-ray mudah alih, dan teknologi terkini.

“Hospital ini akan menjadi pusat penyelidikan, pengajaran dan pusat kesihatan kanak-kanak yang melibatkan semua fakulti di Kampus UKM Kuala Lumpur iaitu Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Farmasi, dan Fakulti Sains Kesihatan.

“Selain itu, HPKK adalah Pusat Perkembangan Kanak-Kanak yang menjadi perintis dalam rawatan kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia. Ia turut menjadi Pusat Sehenti (OSC) yang melibatkan pendekatan multi disiplinari untuk menilai dan merawat pesakit,” katanya semasa menyampaikan taklimat semasa Lawatan Kerja Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Ke Projek HPKK UKM Secara Kerjasama Awam Swasta (PPP), di sini baru-baru ini.

Turut hadir ke program itu ialah Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff dan Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Marzuki Mustafa yang menjalankan fungsi Naib Canselor UKM.

Beliau berkata HPKK turut menyediakan rawatan implan koklea, surgeri skoliosis, surgeri laparoskopi pediatrik dan surgeri Neuro-Oncology intraoperative hybrid MRI.

HPKK UKM yang dibina bersama bangunan hotel, pusat konvensyen dan blok parkir bertingkat dijangka bakal menerima pesakit pertama pada akhir bulan Mac 2021. Dibina pada Mei 2014, hospital itu mempunyai 243 buah katil dengan bilik perseorangan dan dilengkapi bilik air, meja dan ‘sofa bed’.

Agensi yang terlibat untuk pembinaan dan pembangunan HPKK UKM adalah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), KPT, UKM dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).