HPKK UKM Beroperasi Penuh Terima Pesakit Bawah Umur 18 Tahun


Oleh Pusat komunikasi Korporat

CHERAS, 1 MAC 2022 Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mula menerima pesakit awam untuk pelbagai jenis penyakit secara berperingkat bagi menerima rawatan kepakaran tertinggi pediatrik pelbagai disiplin.

Pengoperasian hospital tersebut tertangguh bagi memberi laluan peningkatan kapasiti katil untuk rawatan pesakit COVID-19 semasa gelombang kedua melanda negara pada Jun tahun lalu.

Menurut Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman hospital ini merupakan hospital pengajar kedua yang dibangunkan oleh UKM khusus bagi bidang perawatan pediatrik.

Beliau berkata ia bakal menjadi sebahagian daripada projek bandar perubatan bertaraf antarabangsa iaitu UKM Health Technopolis yang bukan sahaja berperanan sebagai pusat akademik tetapi juga sebagai pusat pembangunan perubatan terutama dalam bidang kepakaran pediatrik.

“Pendekatan berlandaskan bukti saintifik (evidence-based) semasa pembangunan hospital kanak-kanak ini yang diketengahkan oleh UKM juga akan memberikan nilai tambah kepada pelaksanaan projek UKM Health Technopolis.

“Dengan adanya sumber dan kepakaran di hospital ini khususnya, dan UKM secara umum, ia akan menjadi sebuah hospital rujukan utama dalam penjagaan kesihatan kanak-kanak dan menghasikan lebih ramai pakar dalam bidang perubatan pediatrik,” katanya.

Menurutnya, hospital tersebut dibina berdasarkan ciri-ciri hospital berteknologi tinggi selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 dan dilengkapi dengan fasiliti 243 buah katil pesakit serta hotel bertaraf tiga bintang yang membolehkan ahli keluarga pesakit menginap di hospital ini.

Sebagai pusat rujukan tertiari pediatrik, HPKK dilengkapi pelbagai fasiliti diagnostik dan rawatan terkini bersesuaian untuk penjagaan kesihatan kanak-kanak di segala peringkat umur. Hospital ini dibina berdasarkan ciri-ciri mesra kanak-kanak, jagaan berpusatkan keluarga dan mesra alam.

Pengoperasian hospital pakar awam ini akan mengukuhkan lagi sistem kesihatan awam negara dan sekaligus menjamin kelangsungan bekalan tenaga kepakaran pediatrik pelbagai disiplin untuk generasi akan datang. Perkhidmatan yang ditawarkan mengambil kira kemampuan orang ramai tanpa menjejaskan kualiti rawatan yang diterima di samping menjanjikan pengalaman terbaik kepada pelanggan dan akses kepada penjagaan inovatif dan holistik terkini setaraf pusat-pusat kecemerlangan di negara maju.

Terdapat pelbagai program kepakaran perubatan pediatrik ditawarkan di HPKK sebagai hospital pengajar sangkutan Fakulti Perubatan UKM termasuk pembedahan pediatrik dan kepakaran tulang kanak-kanak, selain aliran-aliran kepakaran lazim dalam pediatrik.

HPKK pernah diambil alih sebagai hospital COVID-19 pada bulan Jun 2021 susulan penguatkuasaan Seksyen 3 dan 4 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa perlu) 2021 bagi menampung keperluan katil kritikal bagi penduduk Lembah Kelang ketika gelombang kedua wabak pandemik. Semasa kemuncak pendemik COVID-19, HPKK adalah antara hospital yang paling aktif dan telah berjaya merawat 842 orang pesakit. Pada 15 Oktober 2021, HPKK telah dikembalikan semula untuk memulakan perkhidmatan kepada kanak-kanak sepenuhnya.

HPKK akan dimasyhurkan sebagai Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK) sebagai pengiktirafan dan penghormatan di atas naungan Canselor UKM – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Sumbangan HPKK juga akan melonjakkan nama UKM sebagai salah sebuah universiti yang mempunyai institusi perubatan yang termaju dan terkehadapan di rantau ini.