IDEA UKM Platform Penyelidikan Translasional

Oleh: Muhammad Zaim Badrul Hisham
Foto: Pusat Komunikasi Korporat UKM

PUTRAJAYA, 20 November 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan satu pusat penyelidikan baru, bernama Pusat IDEA UKM, yang telah dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh pada Majlis Persidangan Antarabangsa Bersepadu UKM, di sini, baru-baru ini.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali menyatakan bahawa Pusat IDEA UKM merupakan platform strategik kepada para penyelidik daripada pelbagai kepakaran dan bidang bagi menjalankan penyelidikan dengan lebih efisyen.

“Pusat IDEA bertujuan mengangkat penyelidikan translasional yang bersifat multi-disiplin bersama bagi mencari penyelesaian bersepadu kepada cabaran perdana negara.

“Kadang-kadang kita nampak isu golongan pendapatan rendah (B40) hanya berkaitan ekonomi, tetapi sebenarnya dibelakangnya ada isu kekeluargaan, isu komuniti, isu kesihatan, isu keusahawanan dan keperluan sains teknologi bagi membantu meningkatkan kualiti kehidupan,” jelasnya

Tambahnya lagi, UKM akan memobilisasi segala kepakaran daripada pelbagai bidang bagi mengatasi setiap cabaran perdana yang telah digariskan oleh UKM.

Menurut Dato’ Seri Idris Jusoh, perkara yang paling penting adalah penyelidikan perlu diterjemahkan kepada tindakan berkesan.

“Inovasi adalah penyelidikan yang sudah diambil tindakan dan diterjemahkan sebagai satu penyelesaian.

“Cabaran untuk kita menyelesaikan cabaran perdana ini bukan sahaja kita perlu menjalankan penyelidikan, tetapi bagaimana kita dapat melaksanankan dan menterjemahkan kajian bagi memastikan ia bermanfaat serta memberi kebaikan kepada masyarakat keseluruhannya,” ujar beliau.

Beliau turut menzahirkan rasa kagum kepada UKM kerana berjaya menghimpunkan para sarjana serta penyelidik daripada pelbagai bidang dan displin ilmu dalam satu persidangan.