iFSC2018 Kumpul Penyelidik Muda dalam STEM


Oleh Izzul Aniq
Foto oleh Shahiddan Saidi

BANGI, 1 Ogos 2018 – Persidangan International Future Scientists Conference 2018 (iFSC2018) telah mengumpul penyelidik-penyelidik muda daripada beberapa sekolah cemerlang di Malaysia dan sebuah sekolah dari Jepun dalam mengetengahkan penyelidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Dengan bertemakan Memperkasakan Penyelidik Muda, bakal-bakal saintis tersebut telah didedahkan dengan penerokaan, perbincangan dan pembentangan penyelidikan dalam bidang STEM.

Pengarah Pusat Permata Pintar Negara (PERMATAPintar), Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak berkata, beliau percaya persidangan itu boleh menimbulkan potensi penyelidikan dalam kalangan penyelidik muda dalam membangunkan bakat, kreativiti dan idea-idea cemerlang para pelajar untuk meneroka bidang saintifik.

“Ini akan memberi pemahaman yang lebih baik, memperbaiki kemahiran pembentangan, komunikasi serta membina keyakinan mereka untuk cabaran masa hadapan,” kata beliau.

Menurutnya, persidangan itu akan memberi platform untuk penyelidik muda bertukar idea, pengetahuan dan pengalaman.

“Program seperti ini juga dapat mewujudkan peluang untuk kerjasama dalam penyelidikan pada masa hadapan,” ujarnya.

iFSC2018 yang diadakan selamat tiga hari di Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah disertai oleh pelajar dari sekolah berasrama penuh iaitu dari Sekolah Tun Fatimah, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Menengah Sains Lahad Datu, Sekolah St. John, Asasi Pintar UKM, Kolej PERMATAPintar UKM dan Prefektur Shibata Wilayah Niigata, sebuah sekolah daripada Jepun.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa berharap, para peserta mengambil kesempatan daripada platform itu untuk mencari pengetahuan daripada projek penyelidikan lain, mewujudkan rangkaian dalam kalangan rakan penyelidik Generasi Z dan sentiasa berusaha untuk membentangkan penemuan hasil penyelidikan mereka.

“Jangan takut untuk mencuba perkara yang berbeza. Kami tidak dapat menyelesaikan masalah dengan menggunakan pemikiran yang sama yang kami gunakan ketika kami menciptanya,” katanya yang memetik ayat daripada saintis terkenal, Albert Einstein.

Majlis perasmian iFSC2018 itu turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Asrama dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Aidie Jantan dan Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah, MARA, Kamaruzaman Jaafar.