Industri Sawit Kini Lebih Mesra Alam


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BESTARI JAYA, 7 Oktober 2019 – Dalam memastikan industri kelapa sawit terus lestari, pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Prof Ir Dr Mohd Sobri Takiff bersama pelopor industri sawit negara, Yayasan Sime Darby (YSD) telah membangunkan loji rintis industri sawit berkonsepkan sisa sifar.

Prof Ir Dr Mohd Sobri yang merupakan Penyandang Bersama Kursi Pembangunan Lestari UKM-YSD: Teknologi Sisa Sifar, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) berkata, pembangunan loji rintis itu adalah salah satu misi kelestarian UKM, iaitu bagi memastikan industri kelapa sawit mesra alam dan tidak berlaku pencemaran air, tanah dan udara.

“Kami berbangga dapat berkongsi hasil penyelidikan ini yang dilihat merupakan antara model terbaik dalam tadbir urus sisa pemprosesan minyak kelapa sawit dengan kaedah sisa sifar,” katanya di Kompleks Loji YSD, Bestari Jaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun kapasiti loji rintis itu dibina bagi tujuan kajian, penemuan terpenting iaitu setiap elemen daripada sisa pemprosesan kelapa sawit mempunyai potensi untuk kegunaan lain seperti dalam pertanian dan sebagai sumber tenaga baharu.

“Semua sisa ini akan dikitar semula untuk menjadi produk yang dapat dimanfaatkan pihak lain. Contohnya, isi rong atau hampas sawit digunakan dalam sektor pertanian sebagai baja organik dan lain-lain produk,” katanya.

Beliau berkata, impak bagi inovasi terebut adalah dapat meningkatkan hasil minyak sawit negara dan produktiviti serta kemampanan masa depan industri tersebut.

“Saya harap penyelidikan ini akan menjadi panduan kepada kilang-kilang kelapa sawit sedia ada supaya mereka membuat perubahan ke arah teknologi hijau yang neutral dan sisa sifar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad yang juga penyelidik bersama berkata, penyelidikan yang dijalankan itu memfokus kepada penghasilan tenaga boleh diperbaharui, pemerangkapan gas karbon dioksida, penghasilan baja organik dan kitar semula penggunaan air dari air kumbahan dan sisa pepejal yang terhasil dalam pemprosesan minyak sawit.

“Kejayaan penyelidik UKM dan YSD itu wajar diberikan penghormatan kerana bukan semua pihak mampu memikirkan penyelesaian yang paling bernas dalam menyelesaikan masalah sisa buangan industri sawit hingga menjejaskan alam sekitar.

“Segala sisa pembuangan itu berjaya ditransformasikan kepada sumber boleh diperbaharui yang boleh digunakan pada kemudian hari, misalnya sisa-sisa sabut daripada sisa sawit telah dijadikan baja organik yang dapat digunakan bagi aktiviti pertanian,” katanya.

Penyelidik UKM lain yang turut bersama dalam penyelidikan tersebut ialah, Prof Dr Jamaliah Md Jahim, Prof Madya Dr Mohd Shahbudin Mastar, Prof. Madya Dr Sahilah Abdul Mutalib dan Ir Dr Shuhaida Harun.

Kajian itu turut mendapat kerjasama daripada pelbagai institusi penyelidikan dan universiti tempatan seperti Universiti teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Notingham Malaysia, dan  beberapa institusi antarabangsa iaitu Wageningen University, Belanda; Feng Chia University, Taiwan; LIPI dan Universititas Sumatera Utara, Indonesia.