Inovasi Penting Untuk Perkembangan Ekonomi Negara


Oleh: Melissa Heidi Amir Merale
Foto: Muhammad Izwan Azman

BANGI, 21 Mac 2017 – Inovasi adalah perkara penting bagi perkembangan ekonomi sesebuah negara.

Demikian menurut Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah ketika berucap merasmikan Hari Inovasi UKM 2017 sempena Techno Business Pitching Event anjuran Pusat Inovasi Kolaboratif (PIK) di sebuah hotel di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Beliau berkata, perkara ini perlu diberi tumpuan oleh masyarakat memandangkan dalam kesuraman ekonomi, pendapatan negara perlu dipelbagaikan melalui penghasilan produk yang inovatif untuk memenuhi keperluan pasaran yang mengutamakan nilai.

Menurut beliau, langkah yang dijalankan oleh pihak UKM dalam mengadakan Hari Inovasi adalah satu usaha yang baik bagi mewujudkan jaringan dan kolaborasi dengan sektor kerajaan dan swasta untuk tujuan pengkomersialan produk.

Pada tahun 2016 sahaja sebanyak 107 harta intelek warga UKM telah didaftarkan di dalam sistem iaitu 28 harta intelek adalah paten harta intelek baru, manakala enam harta intelek telah diberikan geran dan paten harta intelek selain 69 hakcipta dan juga  empat tanda dagangan.

Kesemua harta intelek yang telah didaftarkan di dalam sistem adalah hasil daripada sebuah program penyeldikan dan pembangunan (R&D) yang telah dilaksanakan di UKM yang menyahut tujuh Cabaran Utama iaitu Malaysia dan Kesihatan; Malaysia dan Kemampanan; Menguatkan Pendidikan STEM; Mengukuhkan B40’s; Integrasi ASEAN; Alam Melayu dan Pemikiran; dan Islam Kontemporari. Di bawah cabang ini, terdapat 12 mercu tanda kejayaan harta intelek sebagai contoh: Tenaga Yang Boleh Diperbahrui, Teknologi Kesihatan dan Perubatan dan juga Biodiversiti.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Kebangsaan Malaysia, Datuk Mark Rozario, Ahli Lembaga Pengarah UKM, Datuk Dr. Ahmed Tasir Lope Pihie, Pegawai Eksekutif, PlaTCom Ventures Sdn. Bhd., Dr. Viraj Pareira dan Pengarah PIK, Dr. Mohamad Sanusi Jangi.