Institusi Beraja Tetap Wujud Selagi Malaysia Ada – Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim


Oleh Izzul Aniq dan Asmahanim Amir
Foto oleh Ikhwan Hashim dan Shahiddan Saidi

BANGI, 28 Jun 2018 – Institusi beraja di Malaysia sudah lebih daripada cukup tentang jaminan kelestariannya dan akan tetap wujud selagi Malaysia ada, kata Budayawan dan Pengamal Undang-Undang, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, terdapat lebih 480 perkataan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dinyatakan dalam perlembagaan Malaysia dalam memastikan peranan institusi beraja sebagai pengikat yang menggabungkan badan berkepentingan kerajaan yang lain seperti kabinet, kehakiman dan parlimen.

“Sebelum ini kita menganggap raja tidak memainkan peranan, tetapi sebenarnya peranan raja itu ada dan telah disatukan dalam Perlembagaan Malaysia dan dalam Perlembagaan tersebut, lebih dari 42 perkara raja memainkan peranan menurut fungsi-fungsi YDPA.

“Melalui itu kita dapat melihat raja-raja dapat memainkan peranannya di bawah Perkara 40. Selain dari menerima nasihat, Majlis Raja-raja juga berhak untuk mempertimbangkan tentang hal lain, selain hal kenegaraan,” jelasnya selepas Program Bicara Persada ke 46, baru-baru ini.

Beliau berkata, perkara tersebut tidak pernah disebut secara khusus. Beliau turut menekankan bahawa peruntukan itu sengaja dimasukkan tetapi Majlis Raja-raja tidak pernah menggunakan kuasa tersebut untuk mengembangkan nasihat dan juga mempelajari trend yang baharu untuk masa depan negara.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, dalam usaha untuk meningkatkan sokongan terhadap sistem beraja, institusi beraja perlu memberi jaminan kepada rakyat terhadap kredibiliti dan akauntabiliti institusi tersebut.

“Rakyat perlu jadi baik jika mahu raja berkhidmat dengan baik. Rakyat tidak boleh terlalu taksub dengan siasah kepartian politik,” katanya.

Beliau berkata, institusi beraja harus sentiasa kekal neutral dan versatile.

“Institusi beraja tidak boleh berparti politik kerana jika parti tersebut jatuh, maka jatuhlah institusi beraja kita,” terangnya.

Dengan kebimbangan orang ramai tentang isu warisan budaya Melayu yang semakin terancam, Felo Utama Bersama KITA-ATMA UKM, Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong meyakinkan bahawa institusi beraja mempunyai kuasa penuh dalam memelihara warisan budaya Melayu.

“Saya membantah keras mana-mana pihak yang membelakangkan Institusi Raja-raja Melayu walaupun saya bukan orang Melayu.

“Bagi saya, raja Melayu adalah satu warisan budaya Melayu. Sebagai warisan budaya Melayu, sudah pasti ia perlu dilestarikan kerana itu adalah jati diri orang Melayu,” katanya.

Forum yang bertajuk Pasca PRU14: Mendepani Cabaran, Melestari Institusi Beraja turut membariskan Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohd Asyraf Mustaqim Badrul Munir sebagai panel dan moderatornya ialah Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.