Institusi Pendidikan Perlu Bergerak Pantas Harungi Cabaran TN50 – Naib Canselor


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

PUTRAJAYA, 5 Jun 2017 – Institusi Pendidikan perlu bergerak lebih pantas dalam mengharungi cabaran TN50 kerana tempoh 30 tahun dari sekarang bukan jangka masa yang panjang, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata untuk melahirkan pelajar yang berkaliber, institusi pendidikan termasuk pra-sekolah dan sekolah rendah perlu mewujudkan suasana pendidikan berinovasi.

“Kami di Institusi Pengajian Tinggi dengan tema redesigning higher education telah memulakan inovasi dengan merekabentuk pembelajaran ke arah yang lebih berteknologi.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah suasana, terutamanya dalam menghasilkan individu yang mempunyai sifat berinovasi,” katanya semasa menjadi ahli panel untuk forum Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi bertajuk Pemerkasaan Modal Insan Memacu Negara Terbilang di sini baru-baru ini.

Beliau berkata jika mahu melahirkan pelajar yang kompetitif, institusi pendidikan perlu menggalakkan mereka untuk bersaing.

“Kita bercakap tentang tsunami sistem pendidikan tetapi apakah maksudnya?

“Saya membayangkan pendidikan pada masa hadapan tidak berpaksi kepada keputusan peperiksaan semata-mata.

“Jadi, kita kena memberi keyakinan dan ruang sebanyak yang mungkin untuk generasi yang mendatang untuk membuat pilihan dan bersedia untuk membentuk kerangka-kerangka program yang kurang rigid,” katanya.

Turut menjadi ahli panel forum tersebut adalah Rektor UIAM, Prof Dato’ Sri Dr Zaleha Kamaruddin dan wakil Parlimen Belia Malaysia, Shahril Sufian Hamdan.

Forum tersebut telah dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar selaku moderator.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Dalam ucaptamanya, Perdana Menteri telah mengumumkan dana sebanyak RM5 juta kepada Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selain itu, beliau juga mengumumkan penubuhan Kursi Tun Abdullah Ahmad Badawi yang akan ditempatkan di salah sebuah Universiti Awam.