Institut Sel Fuel UKM Menang Anugerah Emas


Oleh: Nurhairani Syam Lahmuddin
Foto: Arkib Institut Sel Fuel

BANGI, 24 Ogos 2021 – Institut Sel Fuel UKM memenangi Anugerah Emas di pertandingan “4th International Malaysia-Indonesia-Thailand Symposium on Innovation and Creativity” baru-baru ini.

Kumpulan tersebut diwakili oleh Azreen Junaida Abd Aziz, Dr. Nurul Akidah Baharuddin, Prof. Madya Dr. Mahendra Rao Somalu, dan Prof. Dr. Andanastuti Muchtar.

Mereka mencapai kejayaan bagi projek inovasi yang bertajuk “The Development of a High-Performance Composite Cathode for Intermediate Temperature Solid-Oxide Fuel Cells”

Projek tersebut bertumpu pada pembuatan bahan katod bagi kegunaan sel fuel oksida pepejal (SFOP) bersuhu sederhana. SFOP merupakan salah satu jenis sel fuel yang berpotensi digunakan dalam aplikasi penjana kuasa pegun.

Selain hidrogen, sel fuel jenis ini juga boleh menggunakan gas hidrokarbon & biogas (dari bahan buangan industri & domestik) sebagai bahan bakar untuk tujuan penghasilan tenaga elektrik.

Kaedah pembuatan yang digunakan adalah pencampuran bahan katod dan bahan elektrolit untuk dijadikan katod komposit. Campuran dengan komposisi berlainan diuji dan dakwat katod komposit yang berkualiti dihasilkan untuk mendapatkan katod komposit berprestasi tinggi.

Azreen Junaida, yang juga merupakan pelajar PhD dari institut berkata, projek ini berupaya memberikan impak positif kepada sektor tenaga negara dan memastikan keselamatan tenaga sejajar dengan matlamat SDG.

Ketua Projek, Dr. Nurul Akidah Baharuddin yakin dengan usaha yang dijalankan secara berterusan mampu memberi impak besar kelak kepada negara.

“Saya berharap agar teknologi hidrogen sel fuel dan SFOP mendapat tempat dalam sektor tenaga di Malaysia sebaris dengan cabang tenaga yang lain dalam usaha mempelbagaikan lagi sumber tenaga di negara kita,” katanya.

Beliau juga berkata kumpulan penyelidik katod SFOP berusaha mendapatkan hak cipta bagi formula penghasilan komponen katod komposit yang dibangunkan, selain dapat menggunakan katod komposit dalam SFOP bagi menjana tenaga elektrik untuk kegunaan Malaysia.

Pertandingan inovasi yang berlangsung secara dalam talian turut disertai oleh lebih daripada 300 peserta dari seluruh Malaysia, Thailand dan Indonesia.