IPT Perlu Lebih Agresif Lahirkan Graduan Berkualiti Tinggi – Dato’ Sri Mustafa


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 26 Januari 2022 – Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu memainkan peranan yang lebih agresif dalam menghasilkan graduan yang berkualiti tinggi, selain menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata dalam tempoh 18 tahun iaitu dari tahun 2002 hingga 2020, bilangan graduan IPT telah bertambah sebanyak 15 peratus iaitu daripada 221,000 kepada 255,000.

“Ini menunjukkan IPT telah berjaya menghasilkan graduan yang memenuhi pelbagai permintaan pasaran atau keperluan bakat oleh industri yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Buku dan Logo Baharu Pusat Pengajian Siswazah Perniagan (UKM-GSB), di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Katanya, beliau bersyukur kerana kualiti pendidikan tinggi di Malaysia bertambah baik dengan kedudukan QS World University Rankings (QS WUR) 2022 mencatatkan sebuah IPTA berjaya menduduki 100 tangga teratas dunia manakala empat IPTA yang lain berada dalam kalangan 200 universiti terbaik, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berada di tangga 144.

Dato’ Sri Mustapa berkata walaupun itu (QSWUR) adalah pencapaian yang bagus, tetapi setiap IPT perlu meningkatkan usaha dalam menghasilkan graduan bertaraf global yang mampu bersaing dengan graduan-graduan daripada universiti ternama di seluruh dunia.

Katanya pelaburan dalam bidang penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi amat penting untuk menyokong pertumbuhan negara.

Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan penghasilan buku-buku ilmiah yang dihasilkan oleh penulis dari UKM-GSB bukan sahaja membuktikan kewibawaan penulisnya, sebaliknya boleh dijadikan sumber rujukan kepada ahli akademik dan kumpulan profesional dan pentadbiran.

“Syabas saya ucapkan kepada semua penulis buku dan semoga terus berjaya dalam menghasilkan buku-buku yang menjadi sumber rujukan kepada semua,” katanya.

Beliau berkata dengan pelancaran logo baharu itu, beliau yakin akan ada perubahan baru yang dilakukan bukan sahaja pada logo tetapi juga dari segi menyuntik semangat warga UKM-GSB untuk mencapai visi, misi dan matlamat usaha memacu pusat ini ke arah yang lebih cemerlang.