IVIC’19 Ketengahkan Teknologi Digital Baharu


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 5 Disember 2019 – Persidangan Antarabangsa Informatik Visual 2019 (IVIC’19) yang diadakan baru-baru di sebuah hotel terkemukan di Bandar Baru Bangi telah membincangkan dan mengetengahkan teknologi digital baharu ke arah masyarakat 5.0 dalam mengintegrasikan seni dalam pendidikan sains.

Dengan tema ‘Digital Innovation Towards Society 5.0’, IVIC’19 telah menghimpunkan 65 pembentangan kertas kerja dan empat pengucaptama yang membincangkan isu berkenaan topik berkenaan Visualisasi dan Inovasi Digital untuk Masyarakat 5.0, Kejuruteraan dan Inovasi Digital untuk Masyarakat 5.0, Keselamatan Siber dan Inovasi Digital untuk Masyarakat 5.0 dan Informatik Sosial dan Aplikasi untuk Masyarakat 5.0.

Persidangan tersebut telah membawa 200 orang perwakilan yang terdiri daripada pelbagai pakar dalam bidang Informatik Visual, mewakili lebih daripada 15 negara termasuk negara Eropah.

Objektif IVIC’19 adalah untuk mengumpulkan pakar bagi membincangkan dan berkongsi pengetahuan serta idea baru dalam bidang penyelidikan ini supaya lebih banyak usaha bersepadu dapat dilakukan secara rasional dan global.

IVIC’19 telah dirasmikan oleh Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Tunku Pro-Canselor UKM.

Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat UKM, Prof Dr Ishak Yussof berkata, menerusi bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (ICT), UKM sentiasa memperoleh salah satu daripada jumlah geran penyelidikan yang tertinggi dalam kalangan fakulti ICT di universiti tempatan.

“Kumpulan Penyelidikan Informatika Visual juga telah menyumbang kepada kemajuan penyelidikan ICT di UKM selama bertahun-tahun dan kekuatan mereka dalam bidang ini telah membawa UKM menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang

Visual Informatics sejak 1 Julai 2013,” katanya.

Bersempena dengan persidnagn tersebut, turut diadakan pameran khas karya seni digital pada Symbiosis Sains, Teknologi Digital dan Seni, bertajuk ‘Digital Tropical: Breathing the Wave’. Ia berlangsung di Taman Pantun UKM, di ‘Istana Puteri Bongsu’ sehingga Januari 2020.

“Ini adalah untuk merangsang aspirasi Kementerian Pendidikan untuk mengintegrasikan pengetahuan dalam Sains, Teknologi dan Seni,” kata Prof Dr Ishak.