Jabatan Perubatan HCTM Hulurkan Sumbangan Bantu Mangsa Banjir yang Terjejas


Oleh Mohd Izhar Ariff
Foto Jabatan Perubatan HCTM

CHERAS, 12 Mac 2021 – Pada awal Januari lalu, beberapa negeri di Selatan dan Pantai Timur tanah air terutamanya di negeri Pahang dan Johor telah dilanda bencana banjir yang menenggelamkan kawasan perumahan dan sekolah sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda yang teruk.

Keadaan itu turut menimpa dan memberi kesan kepada keluarga kakitangan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta penduduk kampung yang terlibat.

Atas kesedaran dan sikap keperihatinan yang menimpa mereka, pihak Jabatan Perubatan HCTM telah mengadakan program khidmat masyarakat iaitu misi bantuan bencana banjir khususnya kepada penduduk kampung kakitangan terlibat dengan memberikan sumbangan berbentuk wang dan barangan keperluan harian.

Untuk misi tersebut, sebanyak RM15,642 telah berjaya dikumpul oleh semua kakitangan di Jabatan Perubatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Jabatan Surgeri, Jabatan Oorinolaringologi (ENT), Radioterapi, Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Jabatan Kualiti, Jabatan Kejururawatan dan telefonis.

Hasil sumbangan tersebut telah diagihkan kepada 80 buah keluarga di Kampung Tebal Seberang dan Kampung Padang Tenggala, Temerloh, Pahang yang terjejas. Mereka juga menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 dan juga bekalan keperluan harian termasuk makanan bernilai RM75 bagi setiap keluarga.

Sumbangan wang juga turut disalurkan kepada Masjid Kampung Tebal Seberang yang turut terjejas oleh bencana banjir.

Misi bantuan itu diharap dapat meringankan bebanan dan sedikit sebanyak dapat melegakan tekanan emosi mangsa banjir.

Selain tanggungjawab sosial kepada masyarakat, misi bantuan itu juga dapat memupuk budaya berkhidmat kepada masyarakat dalam kalangan peserta.

Seramai 11 orang kakitangan bersama tiga orang pemandu HCTM telah terlibat dalam pengagihan sumbangan yang diadakan di Masjid Kampung Tebal Seberang. Urusetia juga turut melawat beberapa buah rumah mangsa banjir di kampong tersebut.