Jangan Pandang Remeh Pembelajaran Dalam Talian, Kata Pelopor Pendidikan Internet

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 19 Feb 2016 – Perubahan besar dalam pendidikan lanjutan sedang berlaku dan universiti tradisional perlu berubah dengan menggunakan internet untuk mengajar, kata pelopor syarahan dalam talian Australia dan pensyarah  sains komputer Prof Madya Richard Buckland.

Dalam usaha untuk kekal relevan, universiti perlu mengadakan kursus dalam talian, kata Dr Buckland daripada University of New South Wales dan pengasas laman sesawang pendidikan terbuka yang tersohor ‘Open Learning Australia’.

Beliau menasihatkan universiti menerima pakai Massive Open Online Courses (MOOC) yang membolehkan bilangan peserta tanpa had dan akses terbuka dalam talian, ketika memberi syarahan umum beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk Pendidikan Terbuka: Landskap Pendidikan Tinggi Baharu.

“Kadang-kadang ada perubahan besar yang jarang berlaku. Tiada siapa yang menjangkakannya. Jika kita renung kembali kita hanya boleh kenangkan dan tertanya-tanya bagaimana jika kita ketinggalan,” kata Dr Buckland, yang kuliahnya dalam talian pernah ditonton lebih dua juta kali.

Beliau menganggap MOOCs sebagai ombak besar yang akan melanda  pendidikan tinggi di seluruh dunia.

” Adalah bahaya bagi orang yang enggan untuk mempercayai bahawa tiada perubahan akan berlaku. Internet adalah meteor yang menghentam bumi,” kata Dr Buckland, yang juga seorang pakar perunding keselamatan siber.

Mengakses MOOCs, jelas beliau, bukan sekadar mengakses bahan pendidikan dalam talian.

Beliau berkata MOOCs adalah kursus sebenar dengan bilangan pelajar yang tidak terhad dan pensyarah juga boleh melihat di mana sahaja mereka berada, asalkan mempunyai akses internet yang pantas.

Beliau mengakui bahawa beliau sendiri tidak menyangka MOOC akan mendapat sambutan hangat apabila mengasas laman sesawang pendidikan OpenLearning.com untuk MOOC pada tahun 2012.

Menurutnya ketika itu, pengurusan universiti dan rakan-rakannya agak ragu-ragu mengenai pembelajaran dalam talian yang percuma.

Namun demikian beliau menasihatkan institusi pendidikan tinggi supaya  teruskan MOOCs secara percuma, untuk mendapat pengalaman yang akan digunakan secara komersial apabila membantu universiti lain mulakan kursus dalam talian.

“Dengan cara itu, anda akan mendapat pengalaman dan mendapat reputasi yang cukup baik untuk mengeluarkan pensijilan untuk universiti lain yang menubuhkan sistem mereka sendiri,” beliau menjelaskan.

Dr Buckland berada di Malaysia untuk mengambil bahagian dalam siri ceramah mengenai inovasi pengajaran dan pembelajaran dalam talian.ukmnewsportal-bm
02

03