Jimat Cermat Dan Labur Dalam Hartanah Satu Cara Jadi Jutawan

130515_milionare_01newOleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 Mei 2015 – Pendidikan dan ilmu pengetahuan adalah perkara utama yang perlu ada bagi setiap orang yang bercita-cita untuk menjadi jutawan.

Penyandang Kursi Yayasan Tun Ismai-­UKM (YTI-UKM), Prof Ben Jacobsen berkata seseorang itu perlu ada ilmu dan arif mengenai kewangan jika mahu menjadi seorang jutawan.

“Bila kita pergi ke sekolah , kita akan belajar banyak perkara termasuklah cara bagaimana hendak menjana pendapatan sehingga boleh menjadi jutawan.

“Pengetahuan mengenai pelaburan yang dilakukan juga dapat membantu masyarakat mengkaji corak pasaran dan pembangunan bidang yang diceburi, sekali gus dapat membuka peluang untuk menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi,” kata Prof Jacobsen yang merupakan salah seorang panel Forum Perkongsian Ilmu: Bagaimana Untuk Menjadi Jutawan di sini hari ini.

Beliau yang juga merupakan Penyandang Kerusi Pasaran Kewangan di University of Edinburgh di Scotland, United Kingdom berkata masyarakat juga perlu menyerap  sikap menyimpan wang sejak dari awal lagi supaya mudah untuk membuat pelaburan masa panjang.

“Kita perlu kreatif dan bijak dalam ‘membuat’ duit. Semua orang perlu membuat pelaburan wang untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata melabur wang dan membelanja duit adalah dua perkara yang berbeza dan masyarakat perlu bijak dalam menguruskan wang yang ada.

Sementara itu, ahli panel kedua, Faizul Ridzuan yang dianugerahkan gelaran  Jutawan Malaysia dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Far Capital Sdn Bhd juga turut bersetuju bahawa pendidikan dan ilmu pengetahuan adalah ‘kuasa’ untuk menjadi jutawan.

“Kamu tidak boleh menjadi kaya jika kamu hanya mempunyai satu bakat sahaja. Jadi jika sekarang ini kamu bekerja makan gaji, teruskan tetapi kamu perlu melakukan sesuatu yang extra,” katanya.

Beliau berkata pelaburan merupakan salah satu daripada kaedah untuk menjana pendapatan lebih selain daripada makan gaji.

“Terdapat pelbagai sektor pelaburan yang boleh diceburi berdasarkan minat dan keupayaan. Jadi kamu perlu tahu minat dan potensi yang ada dalam diri sebelum menceburi bidang pelaburan bagi mengelakkan kerugian di masa hadapan,” beliau menerangkan.

Beliau berkata kerajaan tidak boleh memberikan seseorang itu kekayaan tetapi masyarakat yang perlu memikirkan apa yang boleh dilakukan untuk menjana lebih banyak duit.

Faizul juga turut menasihatkan golongan muda supaya membuat pelaburan hartanah.

“Saya lihat trend masyarakat sekarang adalah apabila habis belajar dan mendapat pekerjaan, terus membeli kereta. Sepatutnya mereka perlu memikirkan cara menyimpan duit untuk membeli hartanah kerana pelaburan hartanah ini adalah keuntungan untuk jangka masa panjang.

“Jika kita mempunyai kereta terlalu awal, kita perlu bersedia untuk menanggung penyelenggaraan bulanan termasuklah mengisi petrol dan sebagainya. Saya sendiri memiliki kereta terpakai selepas mempunyai 13 buah hartanah,” katanya.

Beliau tidak kisah berapa banyak wang yang akan beliau miliki pada masa hadapan tetapi beliau tidak mahu kehilangan wang yang ada.

“Wang tidak boleh memberi kegembiraan kepada kita tetapi dengan wang kita boleh membeli apa sahaja yang kita mahukan. Ia akan memberi ‘kehidupan’ kepada kita setiap hari,” katanya.

Seorang lagi ahli panel dari Pusat Pengajian Siswazah (Perniagaan), Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardi berkata masyarakat perlu memilih hartanah dengan betul dan membuat pelaburan hartanah.

“Ia adalah seperti roller coaster. Kadang-kadang di bawah dan kadang-kadang di atas. Ini adalah perniagaan dan kita perlu mengambil kesempatan ini,” kata Prof Barjoyai yang juga Presiden Perdana Teknologi Venture Sdn Bhd.

Katanya salah satu perkara dalam hidup ini adalah menikmati kehidupan dan buat apa yang suka.

“Impian saya hanya untuk mengharungi kehidupan yang sederhana dan ini yang saya lalui sekarang,” katanya.

Forum ini telah dipengerusikan oleh wartawan dari Astro Awani, Rizal Zulkapli.