Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Baru bagi Generasi Z

1
Oleh Nastura Nasir

Gambar oleh Abd Raai Osman

BANGI, 26 September 2016 – Pengajaran di bilik kuliah tidak lagi boleh kekal secara konvensional sekiranya kita ingin melahirkan graduan yang mampu berdaya saing, inovatif dan kreatif.

Demikian menurut Pengarah Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Universiti Kebangsaan Malaysia Prof. Dato’ Dr. Mohamed Amin Embi dalam Syarahan Perdana beliau bertajuk Pemikiran dan Reka Bentuk Semula Pengajaran dan pembelajaran Abad ke-21, baru-baru ini .

Menurut beliau, mereka yang lahir pada era pengkomputeran mudah alih, yang beliau gelar Generasi Z, mahir berkongsi maklumat melalui media sosial dan minat belajar perkara baru dalam talian.

Justeru, para pendidik perlu mempunyai inisiatif untuk mencipta pengalaman pembelajaran yang baru bagi pelajar Gen Z tersebut.

Menyedari perkara tersebut, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Amin Embi menyenaraikan tiga langkah yang boleh digunakan untuk mencapai hasrat tersebut.

Pertama ialah dengan memahami warga pelajar Gen-Z dan cara mereka belajar; kedua, mentakrif semula konsep pengajaran konvensional yang berasaskan kandungan pengajaran dengan berpusatkan pensyarah seandainya mahu kekal relevan dalam mempersiapkan pelajar menghadapi masa depan dan akhir sekali, merombak semula pembelajaran abad ke-21 bersesuaian dengan keperluan Gen-Z.

Ulas beliau, hal ini boleh dilaksanakan dengan menerokai semula reka bentuk pembelajaran menggunakan tiga dimensi utama pembelajaran iaitu, Pembelajaran 1.0, Pembelajaran 2.0 dan Pembelajaran 3.0.

Mereka bentuk semula Pembelajaran 1.0 atau Redesigning Learning 1.0 melibatkan pendekatan budaya hijau serta kaedah digital dengan melaksanakan e-Pembelajaran, pembelajaran mudah alih (mobile learning) dan pembelajaran teradun (blended learning).

Hal ini bererti bahawa warga pendidikan zaman ini wajar memahirkan diri menjadikan pengajaran dan aktiviti dalam bentuk digital untuk membolehkan pembelajaran berlangsung pada bila-bila masa dan di mana jua, malahan merentasi sebarang peranti dan pentas pembelajaran.

Mereka bentuk semula Pembelajaran 2.0 melibatkan penggunaan semula, penggabungan dan penerokaan semula Sumber-sumber Pendidikan Terbuka (Open Educational Resources-OER) dan juga pendekatan global; melalui Kursus Atas Talian Terbuka Secara Besar-besaran (Massive Open Online Course-MOOC).

Pembelajaran 3.0 pula menggunakan media sosial dan Web 2.0 dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini membolehkan pelajar belajar melalui pengalaman pembelajaran aktif yang bermakna melalui kaedah di dalam kelas secara pembelajaran flipped.

Prof. Amin yang mempunyai kepakaran dalam bidang e-Pembelajaran, Web 2.0, OER dan MOOC juga menegaskan, perkara terakhir namun tetap penting untuk memastikan saranan-saranan ini dapat direalisasi ialah perlunya wujud transformasi dalam pembangunan profesional latihan pensyarah abad ke-21.ukmnewsportal-bm
2

3