Kajian Menunjukkan Penggunaan Plasma Darah dalam Makanan adalah Haram


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 19 Disember 2019 – Plasma darah mempunyai pelbagai kegunaan dan kebaikan yang menjadi nilai tambah dalam produk makanan masa kini. Selain bersifat mudah larut, kelikatan yang rendah dan mampu membentuk gel yang kuat, plasma darah juga boleh digunakan untuk menambah baik tekstur dan menjadi satu alternatif pengganti lemak yang murah dan rendah lemak.

Namun begitu, plasma darah juga mempunyai kelemahan kerana mempunyai mikroorganisma yang berbahaya dan boleh menyebabkan alahan daripada protein darah.

Persoalannya, adakah Islam membenarkan penggunaan plasma darah dalam makanan?

Menurut Ketua Jaringan Industri dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Islam mempunyai dua pandangan berbeza mengenai hukum penggunaan penggunaan plasma darah dalam makanan iaitu ulama kontemporari mengharuskan, manakala mengikut mazhab syafie’ dan hambali, plasma darah adalah diharamkan.

Beliau berkata, kumpulan Pensyarah FPI UKM turut melaksanakan beberapa kajian bagi menentukan hukum penggunaan plasma darah dalam makanan dan hasil kajian mendapati terdapat pelbagai alternatif lain yang halal boleh digunakan sebagai pengganti kepada plasma darah.

“Plasma darah boleh digantikan dengan gelatin halal, plasma protein tumbuhan dan seumpamanya. Oleh itu, berdasarkan prinsip serta perbahasan fiqh yang dikemukakan, maka produk makanan mengandungi plasma darah adalah haram dimakan,” katanya.

Katanya, kajian yang dijalankan itu mendapati tiada keperluan daripada sudut maqasid syariah bagi membenarkan penggunaan plasma darah dalam makanan.

“Penggunaan plasma darah dalam makanan yang digunakan secara berleluasa sekarang ini lebih kepada tahsiniyyat atau pelengkap, iaitu jika tidak digunakan, ada alternatif lain sebagai pengganti.

“Ia juga tidak sampai kepada tahap darurat sebagaimana hukum vaksinasi yang diharuskan kerana boleh meragut nyawa,” jelasnya.

Beliau berkata, hukum harus menggunakan plasma darah dalam makanan sudah tidak lagi terpakai dan ia selari dengan penentuan hukum Mazhab Syafie yang mengharamkannya.

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff berkata, penyelidikan terhadap unsur sains dan teknologi dalam makanan perlu dipandang serius dan dibuat secara konsisten bagi mengelakkan masyarakat terdedah dengan produk syubhah.

“Mufti-mufti negeri juga sudah terkehadapan dengan sentiasa mengajak ahli-ahli akademik untuk sama-sama melakukan kajian seiring dengan sains dan teknologi mendepani Relovusi Indutri 4.0 dalam membantu ekonomi dan pembangunan negara dan masyarakat tanpa mengabaikan status halal dan haram.

“Peranan mufti di setiap negeri dalam menangani persoalan hukum fiqh semasa khususnya berkaitan sains dan teknologi akan dapat membantu menangani keraguan masyarakat terhadap isu halal dan haram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Fiqh dan Teknologi Peringkat Kebangsaan 2019 yang diadakan di UKM di Bilik Senat, Bangunan Pentadbiran, baru-baru ini.

Konvensyen yang menghimpunkan lebih 200 peserta dari pelbagai agensi dan Institusi Pendidikan Tinggi adalah anjuran bersama antara Pusat Islam UKM dan Pusat Islam UKM dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang (UMP).