Kajian Tunjuk Tanah di Bukit Fraser Dalam Keadaan Baik

Research Shows Fraser’s Hill Still PristineOleh Asmahanim Amir
Foto Abd Ra’ai Othman

BANGI, 20 Mei 2015 –Bukit Fraser  di Pahang dalam keadaan baik dan tidak tercemar kerana pembangunan kawasan itu adalah terancang.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Prof Dr Sahibin Abd Rahim berkata hasil kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik di kawasan berketinggian 1,524 meter itu mendapati  Bukit Fraser adalah kawasan hutan simpanan yang masih terpelihara dengan pembangunan yang terancang dan tidak tercemar dengan aktiviti pembalakan.

“Kawasan itu adalah kawasan hutan, hakisan yang kita kira menggunakan musle (meramal janaan sedimen) dan rusle (meramal kadar hakisan) menunjukkan nilai yang sedikit walaupun kita ambil pada peristiwa hujan yang paling lebat,” Prof  Sahibin memberitahu Portal Berita pada Majlis Seminar Saintifik Koridor Raub-Bukit Fraser 2015 di sini, semalam.

Beliau berkata jika ditumpukan pada pengiraan di kawasan yang terdedah, hasilnya mungkin tinggi, tetapi kawasan yang dikaji adalah kecil dan secara umumnya pada sekeliling Bukit Fraser itu hakisannya masih terkawal disebabkan oleh kawasan yang dibuka oleh pihak perbadanan masih kecil.

“Jadi kawasan yang dikaji itu adalah kawasan tanah yang diteroka, kecuali kalau mereka (pihak kerajaan negeri) membuat satu pembangunan yang besar, mungkin kita akan mendapati hasil kajian terhadap kualiti tanah akan menurun,” katanya.

Menurut beliau penyelidikan tersebut adalah berterusan kerana penyelidik tidak boleh mendapatkan data yang baik hanya pada satu waktu sahaja.

“Kajian ini perlu dilakukan secara berterusan. Kita dah buat kajian ini sudah lama. Kita hantar pelajar-pelajar kita untuk mengkaji hakisan, kualiti tanah, jenis tanah bagi mendapatkan hasil yang tepat.

“Ini adalah kawasan tanah tinggi. Jadi kita cuba lihat dari segi hakisan tanah, kalau ada perubahan atau pertambahan guna tanah di kawasan itu kita perlu pantau. Indikator yang kita guna untuk kajian itu adalah hakisan tanah,” katanya.

Beliau menerangkan pihak perbadanan hanya membenarkan pembangunan di kawasan-kawasan terpilih sahaja dan tiada aktiviti pembalakan di kawasan itu.

“Jadi, tahap hakisan masih rendah, kualiti tanah masih bagus. Satu yang paling bagus adalah kekalkan keadaan yang sekarang ini. Jika hendak memajukan kawasan itu, pihak perbadanan perlu mencari aktiviti yang tidak mengganggu pembukaan tanah yang luas dan perlu dilakukan secara terkawal,” katanya.

Penyelidikan di kawasan tersebut juga mendapati tanah di kawasan tanah tinggi Bukit Fraser tidak sesuai untuk aktiviti pertanian kerana tekstur tanahnya yang berpasir selain keadaan cerun yang curam yang ada di kawasan itu.

Menurut Prof Sahibin tanah kawasan tersebut mempunyai kandungan pasir yang tinggi iaitu 60 hingga 83 peratus.

“Tekstur tanah yang terbentuk daripada batuan granit porfiri dan meta batu pasir itu akan membentuk tanah yang mudah terhakis yang menyebabkan ia tidak sesuai untuk pertanian,” beliau jelaskan.

Beliau berkata walaupun kawasan itu adalah kawasan sejuk seperti Cameron Highland, tetapi ia bukan kawasan yang sesuai dijadikan kawasan pertanian.

“Tanah di kawasan itu juga mempunyai topografi dan morfologi yang tinggi. Keadaan cerun yang curam dan rabung yang tajam juga adalah faktor semula jadi yang menyebabkan kawasan itu tidak sesuai untuk aktiviti pertanian,” tambah beliau.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah, ketika melancar seminar tersebut, melahirkan harapan yang ia mencakupi aspek-aspek alam semula jadi termasuklah keunikan tumbuh-tumbuhan di Koridor Raub-Bukit Fraser, status sosio-ekonomi masyarakat setempat dan potensi eko-pelancongan.

“UKM komited dalam usaha menjadikan pusat penyelidikan terulung yang memartabatkan modal insan dan intelektual. Dengan kesungguhan dan kepakaran yang ada, para penyelidik UKM dan universiti lain berupaya mempertingkatkan lagi daya inovasi dalam memastikan projek penyelidikan yang dijalankan dapat memberi manfaat kepada Negara dan masyarakat setempat,” katanya.

Saintifik Koridor Raub-Bukit Fraser 2015 yang bertemakan Persekitaran Lestari Untuk Kesejahteraan Sejagat telah menghimpunkan kira-kira 30 kajian yang dilakukan oleh para penyelidik dari UKM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya (UM) yang membuat kajian yang meliputi khazanah Koridor Raub-Bukit Fraser.

Seminar yang dianjurkan oleh FST ini adalah bagi membentangkan penyelidikan Ekspedisi Saintifik Koridor Raub-Bukit Fraser yang dijalankan pada 16 hingga 21 Oktober 2014.