Kakitangan Perpustakaan Perlu Tambah Ilmu Bagi Penuhi Permintaan Meningkat

Librarians Need Extra Knowledge To Be More RelevantOleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 19 Mei 2015 – Semua kakitangan perpustakaan perlu meningkatkan pengetahuan dan menambahkan ilmu bagi membolehkan mereka berhubungan dengan pengguna terutamanya para penyelidik.

Mantan Ketua Perpustakaan ke-4, Putri Saniah Megat Abd Rahman berkata kakitangan perpustakaan perlu tingkatkan pengetahuan dengan mengambil pengkhususan tambahan supaya mereka mudah memberi maklumat kepada penyelidik jika diperlukan.

“Kita diberi peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Jadi, anda perlu mengambil peluang tersebut dalam meningkatkan ilmu yang ada.

“Anda perlu ada kemahiran dalam menganalisis data, perlu ada pelan strategik untuk tempoh beberapa tahun dan kena rancang bagaimana hendak meningkatkan kemahiran. Bila sudah ada tambahan ilmu, anda akan mudah berhubung dengan pengguna perpustakaan,” katanya dalam Forum Perpustakaan UKM ’45 Tahun Menongkah Arus Perubahan di sini semalam.

Beliau berkata setiap warga perpustakaan perlu bekerja dalam pasukan bagi memastikan transformasi perpustakaan ke arah yang lebih berkaitan.

Katanya, walaupun kebanyakan pelajar menggunakan kaedah dalam talian untuk mencari bahan-bahan perpustakaan, tetapi bahan-bahan yang ada di perpustakaan sekarang masih dapat digunakan.

“Bahan-bahan dalam talian  seperti jurnal adalah tidak lengkap dan kebanyakan pelajar yang menggunakan bahan talian adalah pelajar prasiswazah.  Pelajar-pelajar pasca siswazah terutamanya pelajar PhD dan antarabangsa masih menggunakan perpustakaan dalam mencari bahan untuk kajian mereka.

“Jadi kita mesti tahu setiap sudut yang ada dalam perpustakaan supaya kita dapat memberi maklumat yang tepat kepada pengguna perpustakaan.

“Kita kena kenal sumber-sumber seperti jurnal, dokumen, buku dan gambar-gambar. Kita kena tahu bagaimana kita nak pakejkan maklumat ini sebagai sumber ilmu. Jadi, anda perlu baca dan tahu koleksi-koleksi yang ada di perpustakaan kita,” katanya.

Putri Saniah berkata hubungan antara kakitangan perpustakaan dengan penyelidik juga perlu kuat bagi memastikan bahan penyelidikan yang dihasilkan adalah yang berkualiti dan dapat disimpan di perpustakaan dan seterusnya menjadi bahan rujukan kepada pelajar lain.

Sementara itu, Mantan Ketua Pustakawan ke-5, Abu Bakar Maidin berkata pengurusan ilmu adalah sangat luas kerana ia meliputi perspektif komputer, pengurusan sistem maklumat dan sebagainya.

“Kalau di perpustakaan, kita hanya fokus kepada keperluan perpustakaan seperti koleksi. Kita tidak boleh membuat data pelajar kerana kita hanya kumpul data maklumat perpustakaan sahaja,” katanya.

Katanya beliau berharap agar semua kakitangan perpustakaan melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan amanah dan baik supaya pandangan pihak universiti terutamanya staf akademik dan para pelajar yang menggunakan perpustakaan sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

“Kurangkan menerima aduan daripada pengguna sebaliknya tingkatkan kualiti perkhidmatan dan sentiasa berinteraksi dengan pengguna perpustakaan,”katanya.