Kampus Kuala Lumpur Edar 6,000 Bungkus Bubur Lambuk


Oleh Hafizah ohamad Isa

CHERAS, 28 Mei 2018 – Pusat Jaringan, Komunikasi Korporat dan Teknopolis Kesihatan, Kampus Kuala Lumpur (KKL) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengedarkan sebanyak 6,000 bungkus bubur lambuk kepada warga Kampus Kuala Lumpur iaitu di Kampus Jalan Raja Muda dan di Jalan Temerloh, baru-baru ini.

Edaran juga turut dibuat kepada masyarakat sekitar Bandar Tun Razak, Cheras, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak serta beberapa buah rumah anak-anak yatim.

Seramai 200 orang sukarelawan dalam kalangan kakitangan Kampus Kuala Lumpur daripada pelbagai jabatan, displin dan gred jawatan mengambil bahagian dalam penyediaan bubur lambuk tersebut.

Program yang telah memasuki tahun kesepuluh itu bertujuan untuk mengeratkan silaturahim serta semangat gotong royong dalam kalangan pengurusan dan warga kerja KKL.

Penyediaan bahan-bahan mentah telah bermula pada 24 Mei 2018 pada jam 11.00 malam dan kerja-kerja memasak empat periuk bubur lambuk dilakukan pada malam yang sama, dan pada 25 Mei 2018 mulai jam 8.00 pagi, kerja-kerja memasak sembilan lagi periuk bubur lambuk diteruskan.

Majlis penyerahan bubur lambuk tersebut disempurnakan oleh Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal.

Turut hadir pada sesi penyeraha bubur lambuk tersebut ialah Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Madya Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, dan Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy.