Ke Arah Jadikan Sekolah Kebangsaan Yang Di Terima Seluruh Masyarakat

Efforts To Make National Schools Suitable For All1Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 24 Mac 2015 Usaha yang serius diperlukan untuk mengubah sekolah kebangsaan supaya ia diterima oleh seluruh pelosok masyarakat.

Para peserta di satu forum di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  bersetuju sebulat suara bahawa sekolah kebangsaan perlu berubah untuk mencerminkan aspirasi semua rakyat Malaysia, dan bukan hanya satu kaum.

Mereka bersependapat keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia akan menjejaskan usaha menyatupadukan masyarakat dan citra  sistem pendidikan negara.

Forum yang bertajuk ‘Pemerkasaan Sekolah Kebangsaan Untuk Kualiti dan Integrasi’ ini dianjurkan bersama oleh Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Majlis Profesor Negara (MPN) dan Kementerian Pendidikan serta   dipengerusikan oleh Felo Utama KITA Prof Dato’ Dr Teo Kok Seong.

Menurut mereka sekolah kebangsaan mengalami kemerosotan dari segi kemasukan bukan sahaja murid bukan Melayu, malahan ibu bapa Melayu juga fikir panjang lebar sebelum mendaftar anak mereka ke sekolah tersebut.

Seorang dari empat ahli panel forum tersebut Prof Dato’ Dr Zakaria Kasa berkata Kementerian Pendidikan sasarkan dalam tempoh 15 tahun (2030), sekolah-sekolah kebangsaan akan menjadi antara ketiga teratas negara-negara di dunia.

Apa yang penting, kata Prof Zakaria, ialah sekolah kebangsaan berkualiti dan diterima oleh semua pihak tanpa mengira kaum dengan komposisi guru pelbagai kumpulan etnik.

Menurut beliau, sasaran ini juga akan mengurangkan jurang pencapaian murid-murid sambil memberikan nilai dan pengalaman yang dikongsi dengan menerima kepelbagaian dan kecekapan.Ia adalah satu sistem yang memaksimumkan hasil dan pencapaian pelajar.

“Sebelum tahun 2011, ramai pelajar India dan Cina belajar di sekolah rendah kebangsaan. Pada tahun 2011 ramai pelajar belajar di sekolah vernakular,” beliau menerangkan.

Prof Zakaria, yang merupakan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan anggota MPN, berkata sekolah menegah kebangsaan sepatutnya menyatupadukan pelajar semua kaum, bukan seperti sekolah persendirian.

Pelajar Islam  ramai yang memilih untuk memasuki sekolah menegah agama.

Beliau menyalahkan British kerana merangka sistem pendidikan yang membenarkan sekolah bahasa pengantar Cina dan Tamil yang pada zahirnya adil tetapi memecahbelahkan masyarakat.

Bagaimanapun, seorang lagi pembicara Dato’ Hassan Mad dari Majlis Perundingan tidak percaya yang penjajah British sengaja memecahbelahkan masyarakat melalui sistem pendidikan sekolah di negara ini.

“I don’t agree that the colonial powers were to blame. Look at Singapore, they have no vernacular schools,” tegas Dato’ Hassan.

Kata beliau, apabila kita merdeka kita patut menetapkan hanya satu sistem sekolah kebangsaan dengan satu bahasa pengantar sementara  bahasa-bahasa lain di ajar sebagai mata pelajaran.

Katanya lagi, warga pendidik harus berani bangkit dan ambil balik tanggungjawab mengajar.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya jangan serahkan bulat-bulat tanggungjawab beban disiplin dan pendidikan kepada guru-guru.

“Ibu bapa yang patut menghasilkan kanak-kanak yang berdisiplin dan pintar untuk dihantarkan ke sekolah. Jangan salahkan guru kalau anak ponteng atau kecundang,” tambah beliau.

Dalam pada itu seorang lagi anggota panel Hashim Mohd Zain dari Kementerian Pendidikan membangkitkan isu kualiti yang semakin merosot dan guru-guru yang kurang bermotivasi.

“Semakin ramai ibu bapa bukan Melayu menolak sekolah kebangsaan sebagai institusi perpaduan dan mereka bimbang ia terlalu banyak aktiviti keagamaan (Islam) seperti amalan baca doa’ pada perhimpunan rasmi dan bukan rasmi, termasuk di kantin sekolah.

“Namun demikian, ibu bapa Melayu menganggapnya tidak cukup aktiviti keagamaan,” katanya.

Sebaliknya, ada juga ibu bapa Melayu yakin dengan sekolah kebangsaan Cina kerana persepsi peluang kerjaya lebih luas selepas tamat sekolah, dan mutu pengajaran sains dan matematik lebih baik.

Jonaidi Osman dari Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), berkata KPPK menyokong sekolah kebangsaan diperkasakan.

Jonaidi berkata adalah tidak adil bagi ibu bapa menyalahkan guru kerana kemerosotan kualiti pengajaran dan disiplin.

Menurut beliau ada sikap pilih kasih antara sekolah kebangsaan dan sekolah kebangsaan Cina.

“Sekolah kebangsaan bila beri banyak latihan, ibu bapa akan mengadu. Sekolah Kebangsaan Cina dan Tamil lagi banyak kerja,” ujar beliau.

Pada am nya, ada cukup guru berkualiti, tetapi terdapat kekangan di sekolah kebangsaan.

“Terlalu banyak program guru terpaksa laksanakan. Ada guru bangun pukul 3 pagi nak isi data Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) murid-murid,” tambah beliau.

Namun demikian hakikatnya keadaan di sekolah kebangsaan tidak sebegitu teruk seperti mana yang dipaparkan dalam akhbar.

Hampir 100 guru besar, pengetua dan pegawai pendidikan daerah menghadiri forum yang meriah ini selama dua jam setengah ini.

ukmnewsportal-bm