Ke Arah Kebolehpasaran 100% Graduan UKM

01
Oleh Vinoothene Chandrasekaran
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 26 Feb 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sasarkan supaya semua graduan  ditawarkan pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian.

Cabaran itu dilontarkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Datuk Dr  Imran Ho Abdullah kepada Pengarah Pusat Pembangunan Karier UKM (UKM-Karier) Prof Dr Ishak Yussof.

“Beliau (Prof Ishak) telah melakukan satu kerja yang baik dalam membawa para pelajar ke tahap yang diperlukan,  kerana bagi pengetahuan anda, kadar pekerjaan dalam kalangan graduasi UKM telah mencapai 85%. Kita mahu capai 100% employability in 6 months time,” kata Prof Imran ketika merasmikan sesi temu duga untuk latihan amali syarikat Alcon, dengan pelajar-pelajar UKM, di sini pada 24 Feb lalu.

Menurut Prof Imran walaupun kadar 85% adalah baik berbanding dengan universiti lain di Malaysia, namun beliau berpendapat ia boleh ditingkatkan lagi.

“Dalam kata lain, kami mahu para pelajar UKM mempunyai tawaran pekerjaan sebelum mereka lulus,”  kata beliau.

Beberapa pegawai Alcon Novartis memberi ceramah kepada para pelajar UKM mengenai peluang latihan industri dan juga kemahiran yang diperlukan dalam mendapatkan pekerjaan di syarikat Alcon, sebuah anak syarikat Norvatis di Malaysia.

Seorang daripada mereka R. Shantini, pengurus bahagian Pembelajaran dan Penganjuran Alcon memberitahu dalam taklimat beliau bahawa salah satu cabaran pekerjaan yang dihadapi oleh Malaysia ialah mencapai jangkaan tahap global.

Kata Shantini bagi menangani cabaran ini, program-program anjuran Novartis  memberi pendedahan dalam aspek pekerjaan yang mempunyai semangat persaingan yang tinggi dan juga kepentingan pemikiran kritikal serta peluang pekerjaan di Norvatis.

Novartis ialah syarikat gergasi antarabangsa farmasi dan anak syarikatnya Alcon menghasilkan kanta lekap.ukmnewsportal-bm

02