Kediaman Rasmi Dekan dijadikan Ruang Pejabat Pertama Fakulti Perubatan UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

CHERAS, 17 September 2020 – Kediaman rasmi dekan pertama Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terletak di Jalan Istana Kuala Lumpur telah dijadikan sebagai ruang pejabat pentadbiran Fakulti Perubatan semasa diawal penubuhan fakulti itu 48 tahun lepas.

Dekan pertama Fakulti Perubatan UKM, Dato’ Dr Amir Abas telah menawarkan rumah beliau untuk dijadikan ruang pejabat kerana pada waktu itu tiada ruang pejabat yang khusus disediakan untuk Dekan dan staf pentadbiran bagi menjalankan kerja-kerja pentadbiran fakulti.

Selepas rumah dekan, garaj kereta kediaman mendiang Dato’ Sir Clough Thuraisingam di Jalan Travers diubah suai dan disewakan sebagai pejabat pentadbiran fakulti, manakala lokasi pejabat yang ketiga adalah sebuah rumah sewa di Jalan Masjid, Petaling Jaya.

Seterusnya, premis di bangunan Malaysia Medical Association (MMA) yang terletak di Jalan Pahang Kuala Lumpur dijadikan pejabat yang keempat untuk fakulti tersebut menjalankan operasinya. 

Kedudukan bangunan MMA adalah strategik kerana berhadapan dengan kawasan yang telah dikenal pasti sebagai tapak Fakulti Perubatan yang terletak bersebelahan dengan Hospital Besar Kuala Lumpur dan di lokasi itulah Dato’ Dr. Amir bersama staf yang lain memantau pembinaan infrastruktur fakulti tersebut.

Bermula operasi di rumah Dekan pertama, kini Fakulti Perubatan UKM telah berkembang pesat dengan jumlah kakitangan akademik dan sokongan telah mencecah sehingga 4,400 orang.

Program Sarjana Sains Perubatan dan Doktor Falsafah telah dimulakan di Jabatan Praklinikal pada awal tahun 1980an dan sejak itu Fakulti Perubatan UKM melahirkan seramai 299 orang graduan Doktor Falsafah dan 1,318 graduan Sarjana Sains Perubatan.

UKM berbangga kerana Fakulti Perubatannya telah melahirkan pakar-pakar klinikal yang telah mempelopori pelbagai prosedur rawatan dengan merawat kes-kes yang rumit yang sebelum ini tidak dapat dirawat.

Antara kenangan manis terawal yang telah dilakar adalah pada 17 Julai 1988 iaitu kejayaan pakar-pakar dan kakitangan Jabatan Pediatrik UKM yang diketuai oleh Prof Dato’ Dr Mahmud Mohd Nor melakukan pembedahan pertama mengasingkan kembar siam di Malaysia.

Semua sejarah penubuhan Fakulti Perubatan itu telah diabadikan dalam buku bertajuk Fakulti Perubatan UKM – Kenangan Sepanjang Zaman yang merupakan catatan bergambar yang dihasilkan sempena sambutan ulang tahun ke-50 UKM.

Buku tersebut yang ditulis oleh Prof Dr Ima Nirwana Soelaiman dan Prof Madya Dr Norliza Muhammad dijual dengan harga RM120 senaskah dan tempahan boleh dibuat melalui borang atas talian dipautan https://forms.gle/6vKsngpZTYG8qK6R7.