Kegagalan adalah Proses Kejayaan Usahawan


Oleh Nadia Sapuan
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 21 Mac 2017 – Usahawan tidak boleh takut kepada kegagalan kerana ia adalah proses pembelajaran untuk menjadi usahawan yang hebat.

Pengarah Urusan Nationwide Express Holdings Berhad, Rozilawati Tan Sri Basir berkata setiap pelajar perlu yakin pada diri sendiri dan jangan sesekali berputus asa dalam menceburi mana-mana kerjaya terutamanya kerjaya sebagai seorang usahawan.

“Jangan takut pada kegagalan dan cabaran kerana kedua-dua itu adalah salah satu proses pembelajaran yang boleh mendatangkan kejayaan kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi syarahan bertajuk The Rose Amongst The Thorns untuk pelajar CITRA kursus Asas Keusahawanan dan Inovasi, baru-baru ini.

Dalam ucapannya, beliau turut menasihatkan kepada pelajar bahawa untuk menjadi usahawan berjaya, tingkahlaku adalah sangat penting kerana ia mencerminkan keperibadian diri seseorang.

“Jika anda ingin berjaya, anda perlu memiliki tingkahlaku yang bagus selain memiliki kemahiran interpersonal yang baik,” ujarnya.