Kejayaan Alumni Pusat Genius@Pintar Negara UKM Suntik Motivasi


Oleh Murniati Abu Karim & Santhiyah Chandran
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 17 September 2021 – Sesi perkongsian kisah kejayaan dan panduan hala tuju pendidikan alumni Kolej GENIUS@Permata Negara (KGPN) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus berjaya dalam hidup.

Program Secangkir Kopi Bersama Alumni KGPN menampilkan tiga panel iaitu Wee Miao Zi, Muhammad Nur Sadiqin Mohd Khusni dan Achmad Bakhtiar M. Yuni yang turut berkongsi pengalaman mereka ketika belajar di KGPN.

Program yang julung kali dianjurkan itu juga bermatlamat untuk memberi pendedahan mengenai KGPN dan kurikulum istimewa yang digunakan dalam pendidikan murid pintar dan berbakat kepada masyarakat luar.

Panel jemputan menasihati pelajar supaya menyahut cabaran dan menggapai peluang yang disediakan oleh pihak kolej untuk mereka bergiat aktif dalam aktiviti sehingga ke peringkat antarabangsa.

Achmad Bakhtiar turut berkongsi teknik pembelajaran efektif yang boleh dicontohi oleh pelajar-pelajar KPGN bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Beliau menekankan kepentingan memberi tumpuan sepenuhnya ketika berada di dalam kelas dan sifat suka bertanya kepada pensyarah dan rakan-rakan sekiranya kurang jelas dengan topik yang dibincangkan.

Wee Miao Zi juga berkongsi pengalaman yang dilaluinya ketika menjadi pelajar KGPN dan cara beliau menghadapinya.

“Kehidupan di KGPN adalah terlalu berbeza dengan kehidupan sekolah harian. Di sekolah harian, kita selalu dengar apa yang diajar oleh cikgu sebaliknya di KGPN, pelajar yang membentangkan apa yang mereka fahami dari pembelajaran kendiri.

“Pembelajaran di sini adalah lebih kepada ‘self-learning’. Oleh itu, pelajar haruslah bijak merancang dan menguruskan masa dengan baik,” katanya.

Sadiqin Khusni menyatakan bahawa persaingan yang sengit dalam kalangan pelajar merupakan cabaran terbesar beliau.

Beliau menasihati pelajar KGPN supaya tidak berasa malu untuk merebut peluang bagi menonjolkan diri dan jangan takut untuk melakukan kesilapan.