Kejayaan ibu dan ayah sumber inspirasi Nabilah

Oleh Ummu Umairah Ahmad Shukri
Foto oleh Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 11 November 2018 –Anak Menteri Besar Terengganu, Nabilah Shamshuri Mokhtar, yang bergraduasi pada majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-46, menjadikan kejayaan ibu bapanya sebagai sumber inspirasi untuk berjaya.

“Kedua ibu bapa saya adalah alumni UKM. Mereka adalah inspirasi saya sepanjang saya menimba ilmu di sini,” katanya.

Beliau yang menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dan Maklumat, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat berkata ibu bapanya sentiasa memberi sokongan terhadap apa yang dilakukan sepanjang belajar di UKM.

“Sepanjang belajar di sini, saya seorang yang aktif. Saya menyertai banyak pertandingan membuat aplikasi selain turut aktif dalam Persatuan Ikatan Studi Islam UKM,” ujarnya yang bercita-cita melanjutkan pengajian Sarjana di New Zeland.

Ayah Nabilah, Ahmad Samshuri Mokhtar adalah Menteri Besar Terengganu merupakan alumni dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan ibunya, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman merupakan alumni Fakulti Pengajian Islam dalam bidang Dakwah dan Kepimpinan.

Nabilah adalah antara 7,021 graduan yang menerima Ijazah pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-46 yang berlangsung dari 10 hingga 13 November 2018.