Kekangan Masa Tidak Halang Ammar Menerima Anugerah Tun Abdul Razak


Nur Amilya Husna Kamarul Zaman
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 26 November 2022 – Kekangan masa tidak menghalang pendebat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Ammar Sahazubir menamatkan pengajiannya dalam Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Psikologi) dengan cemerlang.

Penerima Anugerah Tun Abdul Razak pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia kali ke-50 itu, sentiasa mengekalkan kecemerlangan dalam akademik dengan memperoleh anugerah dekan sebanyak empat kali sepanjang enam semester pengajian.

Pada awalnya, Ammar tidak meletakkan impian untuk mendapat sebarang anugerah akibat kekangan masa membuatkan beliau terlepas banyak pembelajaran di dalam kelas.

“Saya selalu ketinggalan pelajaran semasa melibatkan diri dalam debat, tetapi saya bersyukur mempunyai rakan-rakan yang selalu membantu saya,” katanya.

Menurut Ammar, beliau mula aktif dalam debat ketika di UKM dan pada masa itu terdapat beberapa orang memberikan kata semangat untuk beliau terus melibatkan diri dalam dunia pendebatan.

Ketika di peringkat kebangsaan, Ammar telah mewakili dan mengharumkan nama universiti dalam pertandingan-pertandingan debat dan antara kejayaan yang paling bermakna buat beliau adalah membawa nama UKM menjadi Naib Johan Pertandingan Debat Di-Raja Antara Institut Pengajian Tinggi.

Ammar juga berjaya dinobat sebagai Anugerah Pendebat Terbaik Pusingan Akhir dalam pertandingan debat yang disertai seperti Kejohanan Debat Darul Takzim, Debat Mekar Siswa, dan Debat Kepenggunaan Antara Institut Pengajian Tinggi.