Kelab Mikrobiologi FST Buka Makmal Hands-on kepada Pelajar Sekolah


Oleh Izzul Aniq
Foto oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 10 Ogos 2018 – Kelab Mikrobiologi Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) buat pertama kali memberi peluang kepada pelajar sekolah sekitar Bangi bagi mengikuti makmal mikrobiologi secara hands-on melalui Karnival Mikrobiologi 2018 yang diadakan di FST baru-baru ini.

Karnival dengan tema Love Them, Hate Them, Know Them diadakan bagi menggalakkan minat para pelajar terhadap bidang sains dan memperkenalkan modul-modul sains.

Pensyarah Kanan FST, Dr. Norefrina Shafinaz Md Nor berkata, karnival tersebut memberi pengalaman kepada pelajar melakukan eksperimen sendiri dalam makmal mikrobiologi.

“Mungkin dengan cara ini (hands-on experiment) akan mencetuskan minat dalam kalangan pelajar untuk menjadi saintis di masa hadapan,” katanya.

Antara aktiviti lain yang turut diadakan sepanjang dua hari carnival itu berlangsung ialah forum vaksin, ceramah, latihan, poster dan sesi pitching.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata, karnival itu akan memberi pendedahan dan memupuk minat semua pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

“Selain itu, karnival seperti ini juga akan menjadi mekanisma untuk pelajar-pelajar universiti mempelajari kaedah penganjuran acara yang hebat.

“Ini memerlukan komitmen yang tinggi dan juga kemahiran pengurusan sesebuah organisasi,” katanya.

Beliau berkata dalam menghadapi cabaran masa kini, para pelajar bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik tetapi juga perlu dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran insaniah seperti kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan dan kerjasama berpasukan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.